bio list cbox entry




TEKS ULBS SAYA. :)
Wednesday, 6 January 2016 | 0 comments


Hari ini, saya ingin kongsikan sebuah cerita yang diolah oleh saya sendiri. Saya menjadikannya sebagai teks ULBS Bahasa Melayu saya ketika di Tingkatan Lima. Alhamdulillah.. cikgu bagi markah penuh..  ~(^,^)~



Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera saya ucapkan.

Yang dihormati, Pn. Harliza binti Esa dan sahabat-sahabat seperjuangan saya sekalian. Sebelum saya menutur kata seterusnya, terlebih dahulu saya ingin memohon ampun dan maaf sekiranya pengucapan awam saya ini mempunyai kesilapan dan kekurangannya. Sesungguhnya, apa-apa yang saya ucapkan sebentar nanti merupakan hasil yang telah saya kaji berdasarkan beberapa sumber dan antara salah satunya ialah hadis Nabi S.A.W. Sebarang dialog yang ada bukanlah persis dan tepat seperti yang sebenarnya. Sesungguhnya, kesahihan masih tidak dapat dipastikan lagi dan kepada Allah jualah yang Maha Mengetahui.

Surah al-Kahfi, ayat 1 hingga 10. Nampaknya, sudah ada dalam kalangan kamu yang dapat mengagak tajuk apakah yang bakal saya ketengahkan pada hari ini?

Kawan-kawan yang dirahmati Allah sekalian. Boleh sesiapa beritahu saya, apakah keistimewaan sekiranya seseorang mengamalkan surah al-Kahfi ayat 1 hingga 10? Benar. Rasulullah sendiri pernah bersabda bahawa membaca permulaan surah al-Kahfi boleh menghindarkan kita daripada fitnah terbesar pada akhir zaman iaitu fitnah Dajjal Laknatullah.

Maka ketahuilah rakan-rakan sekalian, tajuk pengucapan awam saya pada kali ini ialah tentang seorang manusia yang membawa fitnah terbesar pada penghujung zaman nanti hinggakan tercetusnya perang dunia ketiga yang dipanggil Armagedon iaitu Al-Masih Dajjal.

Sebelum kita menyentuh topik ini dengan lebih mendalam, kawan-kawan semua, kenalkah kita pada Dajjal? Menurut hadis riwayat Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W  berdiri di hadapan manusia, menyanjungi dan memuji Allah, Tuhan semesta alam kemudian menyebut Dajjal dan berkata; Aku memperingatkan kalian tentangnya. Tidaklah ada seorang nabi pun yang tidak mengingatkan ummatnya tentang Dajjal. Nabi Nuh A.S telah memperingatkan kaumnya. Akan tetapi, aku akan menyampaikan perkara yang belum pernah disampaikan oleh nabi-nabi sebelumku. Ketahuilah bahawa Dajjal itu buta sebelah matanya dan Tuhanmu tidaklah buta matanya. Dan di antara kedua matanya tertulis ‘Kaf, Fa, Ra’ (KAFIR) yang boleh dibaca oleh setiap orang mukmin meskipun dia seorang yang buta huruf.

Dari Malik, dari Nafi' dari Abdullah bin Umar R.A : Rasulullah saw bersabda, "Pada suatu malam aku bermimpi di sisi Ka'bah, aku melihat seorang lelaki tampan, sebagaimana kamu pernah melihat seorang lelaki tampan, dia berambut ikal sebagaimana kamu pernah melihat seorang lelaki tampan berambut ikal. Dia menguraikan rambutnya yang masih basah. Dia bersandar kepada bahu dua orang sambil melakukan Tawaf di Baitullah. Lalu aku bertanya, 'Siapakah lelaki ini? ' Ada yang menjawab, 'Dia adalah al-Masih bin Maryam' (Nabi Isa a.s). Kemudian tiba-tiba aku didekati seorang lelaki berambut kerinting, sebelah matanya buta seperti buah anggur yang masak ranum (maksudnya matanya keluar). Lalu aku bertanya, 'Siapa pula lelaki ini? ' Ada yang menjawab, 'Dia adalah al-Masih Dajjal'." Hadis riwayat Muslim.

Sebelum kemunculan Dajjal, seluruh dunia ditimpa ujian yang hebat selama tiga tahun. Pada tahun yang pertama, hujan hanya turun sebanyak dua per tiga daripada kebiasaannya. Pada tahun yang kedua pula, hujan hanya turun sebanyak satu per tiga sahaja dan untuk tahun yang ketiga, hujan tidak turun langsung!

Bayangkanlah kawan-kawan yang dirahmati Allah sekalian. Betapa susahnya kehidupan pada waktu itu. Satu dunia menjadi kering-kontang. Kawan-kawan, sedangkan pada awal tahun 2014 sehingga bulan Mac, air hujan jarang-jarang menyirami hampir segenap bumi Malaysia, kita sudah pun terasa kepayahan dan kejerihannya. Cuaca yang panas melampau dan kegunaan air pula dicatu. Itu baru Allah tahan untuk tiga bulan sahaja kawan-kawan. Empangan pun hampir mencecah tahap kritikal. Habis itu, macam mana keadaannya untuk 12 bulan, hujan tidak turun-turun? Empangan kering-kontanglah jawabnya!

Rakan-rakan seperjuangan saya sekalian, saya mahu bertanya pada kamu, apakah sumber utama untuk menghasilkan tenaga elektrik yang menjadi kegunaan harian oleh penduduk bumi? Seperti yang sudah kita ketahui, sumber yang terbesar menjana tenaga elektrik ialah empangan hidroelektrik. Habis itu, macam mana keadaannya jika empangan kering? Maka, bergelap dan berpanaslah kita tanpa adanya sumber elektrik. Pada ketika itu, hampir seluruh dunia ketiadaan elektrik. Saya tidaklah mengatakan bahawa segenap dunia ketiadaan elektrik pada waktu itu. Sudah tentulah tidak. Ada yang menggunakan kuasa angin, tenaga solar dan sebagainya tetapi empangan hidroelektrik lebih menjerumus kepada negara kita, Malaysia.

Kawan-kawan, apabila ketiadaan elektrik, mampukah kilang-kilang terus berfungsi memproses produknya? Mampukah stesen-stesen minyak mengeluarkan petrolnya untuk diisi ke dalam tangki minyak kenderaan? Mampukah gas-gas asli diisi ke dalam tong gas untuk digunakan untuk memasak? Mampukah pelantar-pelantar minyak terus mencari gali petroleum dan gas asli yang tersimpan di dalam perut bumi? Mampukah institusi-institusi dan syarikat-syarikat meneruskan jadual hariannya?

Lihatlah betapa susahnya manusia pada zaman itu. Mungkin ada di antara kita yang menganggap bahawa, “Alah, bukannya kita tidak ada sumber yang lain. Alah, bukannya kita tidak boleh simpan bekalan makanan, bukannya kita tidak boleh berikhtiar untuk usaha lain. Alah, kita kan boleh buat pembenihan awan. Apa nak susah!”

Kawan-kawan, tanyalah diri anda sendiri. Siapa sahaja yang sanggup berpanasan selama sehari suntuk di dalam rumahnya ketika ketiadaan elektrik? Serasa saya, ada sahaja mulut yang mengomel, “Panaslah!”, “Gelaplah!”, “Bosanlah televisyen tak ada, modem internet pula mati, nak beli internet, kredit tak ada.”  dan mungkin juga ada yang berkata, “Panas betullah Malaysia ni, selalunya ada pendingin hawa, rasa macam duduk dekat England aje. Ini tidak, panas dan merimaskan!”

Maka jelaslah bahawa pada waktu itu, secara amnya, seluruh dunia susah. Mungkin juga banyak berlaku kes kematian kerana kebuluran dan dehidrasi. Kehidupan pada masa itu kembali pada zaman beribu-ribu tahun lampau iaitu zaman batu. Kita menggunakan batu untuk menghasilkan api. Memakan pucuk-pucuk tumbuhan untuk terus hidup. Sudah tiada lagi makanan yang dipanggil Kentucky Fried Chicken, McDonald, Pizza Hut dan sebagainya.

Ketika zaman kepayahan itulah, al-Masih Dajjal pun keluar menjelajahi bumi dengan membawa segunung roti. Menurut hadis nabi, turut dibawa bersamanya dikatakan syurga dan neraka. Ketahuilah kalian bahawa yang dikatakan syurga itu ialah neraka dan yang dikatakan neraka itu ialah syurga. Barangsiapa yang disiksa di dalam nerakanya yang panas, maka hendaklah dia membaca pangkal surah al-Kahfi. Nescaya api itu akan menjadi sejuk seperti sejuk dan nyamannya api yang membakar nabi Ibrahim A.S.

Pada awalnya, Dajjal mengaku bahawa dia ialah seorang rasul utusan Allah. Seperti mana Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Pada mulanya, Dajjal akan mengaku sebagai nabi. Ingatlah, tiada lagi nabi setelahku. Setelah itu, dia mengaku bahawa dia ialah Tuhan. Ingatlah sesungguhnya, Tuhanmu tidak akan kamu lihat sebelum kamu mati dan Dajjal itu cacat matanya. Sesungguhnya Allah tidak cacat dan tidak sama dengan yang baharu.”

Tempoh Dajjal menjelajahi bumi ialah 40 hari. Satu hari panjangnya seperti setahun, satu hari lagi panjangnya seperti sebulan dan hari seterusnya panjangnya seperti seminggu manakala hari-hari selebihnya seperti kebiasaannya. Ada sahabat bertanya kepada baginda S.A.W. “Wahai Rasulullah, jika begitu perjalanan harinya, bagaimana bilangan solat lima waktu bagi hari yang panjangnya seperti setahun? Adakah cukup jika solat lima waktu sahaja?”. Nabi S.A.W menjawab, “Tidak cukup. Kamu mesti mengira jarak masanya.”

Sahabat bertanya lagi, “Ya Rasulullah, bagaimanakah kecepatannya menjelajahi bumi?” Baginda kemudiannya menjawab, “Sepantas titisan hujan yang ditiup angin yang kencang Dajjal akan menjelajahi bumi. Tiada satu daerah pun yang tidak dijejakinya kecuali Makkah dan Madinah kerana dua kota itu dikawal ketat oleh para malaikat dengan pedang tajam yang terhunus.”

Kawan-kawan sekalian, setiap negeri yang didatangi Dajjal, penduduknya bagaikan padi di dalam pengisar. Mereka lari ke sana ke mari kerana takut akan Dajjal. Ramai orang Islam lari ke hutan dan gunung. Seperti mana hadis yang pernah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W riwayat Muslim iaitu pada saat itu, manusia benar-benar melarikan diri ke arah gunung. Sebahagian besar keluarga orang mukmin pula lebih senang mengurung diri di dalam rumah. Dahsyatnya fitnah Dajjal sehinggakan orang lelaki mengikat isteri, ibu, anak perempuan serta ahli keluarga perempuannya kerana pada masa itu, kaum wanitalah yang paling banyak menjadi pengikut Dajjal. Setiap negara yang dimasuki Dajjal, berpuluh-puluh ribu bahkan berjuta-juta orang akan menjadi pengikut Dajjal. Sehinggakan menurut riwayat, orang mukmin hanya tinggal 12,000 orang lelaki dan hanya 7,000 orang perempuan dari segenap dunia yang akan menjadi pengikut Imam Mahdi dan menentang musuh-musuh Allah.

Kawan-kawan, pada zaman Dajjal, iman diibaratkan seperti memegang bara api. Panas dan membakar. Apabila dilepaskan dari genggaman, maka terjerumuslah kita ke dalam fitnah Dajjal. Apabila terus digenggam utuh, godaan dan keperitannya begitu terasa.

Antara fitnah dan tipu daya yang dibawa oleh Dajjal ialah dia mendatangi suatu perkampungan dan seperti kebiasaannya, dia akan menyeru kepada manusia supaya menyembahnya dan penduduk di situ mentaatinya. Dajjal kemudiannya mengarahkan awan supaya menurunkan hujan, mengarahkan bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan peliharaan penduduk di situ menjadi sihat dan gemuk belaka.

Dajjal kemudiannya mendatangi sebuah lagi perkampungan. Dia menyeru supaya manusia tunduk padanya dan mengaku bahawa dirinya ialah Tuhan semesta alam. Namun mereka menolak dan mendustakannya. Pada keesokan harinya, kawasan itu menjadi kering-kontang, kosong dan tandus. Dajjal kemudiannya datang semula ke daerah yang sudah seperti padang jarak padang terkukur itu lalu menyeru, “Keluarkanlah semua harta-harta simpananmu!” Maka keluarlah semua harta-harta simpanan penduduk kampung itu tanpa tertinggal sedikit pun lalu mengekori Dajjal seperti lebah-lebah mengekori ratunya.

Bukan itu sahaja, Dajjal juga boleh mengawal pergerakan matahari. Menurut riwayat hadis, Dajjal nanti akan berkata, “Akulah Tuhan sekalian alam. Matahari bergerak atas keizinanku. Adakah kamu bermaksud menahannya?” Setelah itu, Dajjal mengarahkan supaya matahari berhenti bergerak dan ketika itu, hari menjadi panjang seperti setahun ataupun sebulan. Setelah itu, Dajjal bertanya, “Adakah kamu ingin melihat aku mengarahkannya supaya bergerak dengan lebih laju?” Jawab mereka, “Ya, kami ingin.” Maka, Dajjal mengarahkan supaya matahari bergerak dengan lebih laju. Hari itu terasa begitu pantas berlalu.

Antara fitnah yang dibawa Dajjal ialah dia dapat menghidupkan orang-orang yang telah lama mati. Hakikatnya, orang-orang yang sudah lama meninggal dunia itu merupakan jelmaan syaitan yang diizinkan Allah untuk menyerupai ibu bapa kita. Saya memohon maaf sekiranya hal ini agak menyinggung perasaan kawan-kawan sekalian. Mampukah kita menahan godaan dan fitnah Dajjal seandainya insan yang kita sayangi, insan yang kita rindu yang telah lama pergi meninggalkan dunia yang fana ini, muncul di hadapan saudara-saudari sekalian. Wajahnya sama, suaranya sama, sifatnya sama, senyumannya sama, pelukan yang kita dambakan selama ini sama tanpa berbeza sedikit pun. Adakah mampu kita melawan godaan hebat ini kawan-kawan? Kita sudah sedia maklum bahawa setiap yang bernyawa pastinya akan mati, bukan? Jadi, kita juga tahu bahawa ibu bapa kita, keluarga kita, sahabat-sahabat kita akan pergi jua suatu hari nanti. Satu hakikat yang memang secara warasnya tidak dapat disangkal.

Andaikan kawan-kawan semua ditakdirkan untuk berdepan dengan Dajjal. Ya, sudah tentu kawan-kawan sekeluarga berdepan dengan al-Masih Dajjal. Dia menyuruh kamu semua menyembahnya tetapi kalian sekeluarga menolak seruan itu. Pada masa itu, depan mata kamu semua, ibu bapa kamu dibunuh oleh tentera Dajjal. Bayangkanlah, kawan-kawan. Perkara itu berlaku di hadapan mata. Mula-mula ibu bapa kita yang dibunuhnya. Setelah itu, adik-beradik kita yang lain pula tumbang satu-persatu tanpa dapat diselamatkan. Kawan-kawan, betapa sayu dan sedihnya saat itu. Begitu sukar untuk digambarkan. Dunia terasa sunyi tanpa suara ceria mereka. Ditakdirkan untuk kamu bertemu sekali lagi al-Masih Dajjal dan pengikut-pengikutnya dan dia berkata, “Seandainya aku menghidupkan keluargamu kembali, adakah kau akan menyembahku dan mengakui bahawa aku adalah Tuhanmu?” Tanpa menunggu kamu menjawab soalan itu, tiba-tiba seseorang berlari dan mendakapmu dan kemudiannya mereka yang lain turut menerpa ke arahmu sambil tersenyum bahagia. Ibu bapamu berkata, “Wahai anakku, ikutilah dia. Sesungguhnya, benar dia ialah Tuhanmu.” Sahabat-sahabat seperjuangan saya semua, apakah reaksi kamu semua ketika berdepan dengan situasi begini?

Kawan-kawan, seluruh dunia pasti akan dilewati oleh al-Masih Dajjal kecuali Makkah dan Madinah kerana malaikat mengawal kedua kota suci ini dengan begitu ketat sekali. Namun, apabila Dajjal dan konco-konconya tiba di pergunungan di pinggiran Madinah, kota Madinah bergegar sebanyak tiga kali seperti berlaku gempa bumi. Pada waktu itu, orang-orang munafik, lelaki dan perempuan yang terdapat di dalam kota suci itu seperti cacing kepanasan. Mereka akhirnya keluar dari kota Madinah dan bergabung dengan Dajjal.

Saya tertarik dengan sebuah kisah yang pernah diceritakan oleh Rasulullah S.A.W kepada para sahabat. Baginda berkata, “Mahukah aku ceritakan kepada kamu semua tentang kisah seorang pemuda yang mendapat pangkat syahid yang paling tinggi di dalam syurga?” Sudah semestinya para sahabat ingin mendengar keunggulan pemuda itu hingga dia mendapat anugerah syahid yang tertinggi di dalam syurga. Kawan-kawan mahu mendengar kisah pemuda ini? Begini kisahnya...

Orang-orang Islam yang berlindung di dalam kota Madinah menjadi risau apabila mereka mendapat tahu bahawa Dajjal dan pengikut-pengikutnya kini sudah berada di luar kota Madinah. Kegusaran itu tidak bertapak di dalam hati seorang pemuda ini. Malahan, dia ingin ke luar Madinah untuk bertemu dengan Dajjal. Keinginannya telah menimbulkan kerisauan di hati orang-orang di sekelilingnya kerana mereka yakin, apabila dia keluar sahaja dari kota Madinah, pasti dia akan ditangkap oleh pengikut-pengikut Dajjal.

           
Akhirnya, pemuda itu dibawa bertemu dengan Imam Mahdi. Sebaik sahaja berhadapan dengan ketua umat Islam itu, pemuda itu seraya berkata, “Izinkan aku untuk ke luar kota Madinah. Aku mahu bertemu dengan Dajjal.” Imam Mahdi menjadi pelik. Kebiasaannya, orang semakin mahu menyembunyikan diri berbanding berhadapan dengan Dajjal tetapi tidak pula pada pemuda itu. Imam Mahdi bertanya, “Kenapa kau bersungguh-sungguh mahu bertemu dengan Dajjal sedangkan apabila kau melepasi garisan sempadan kota haram ini, kau pasti akan ditangkap dan diapa-apakan?”

“Kerana aku ingin memberitahu Dajjal bahawa dia ialah al-Masih Dajjal yang pernah diceritakan oleh Rasulullah S.A.W dahulu dan bukannya Tuhan yang satu.” Beritahu pemuda itu bersungguh-sungguh. Melihatkan kesungguhan pemuda itu, keazamannya sedikit pun tidak dapat dihalang. Si pemuda pun keluarlah daripada kota Madinah.

Sebaik sahaja dia melintasi sempadan, pemuda itu terus ditangkap dan dibawa bertemu dengan Dajjal. Maka, apabila pemuda itu bersua muka dengan al-Masih Dajjal, Dajjal pun bertanya, “Adakah kau mahu mengakuiku sebagai Tuhanmu?” Pemuda itu terus berkata, “Tidak sama sekali. Kau bukan Tuhanku. Kau ialah al-Masih Dajjal yang pernah diceritakan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W. Kau ialah Dajjal si pendusta yang akan datang membawa fitnah yang besar! Kau bukan Tuhan! Tuhan kami ialah Allah manakala kau ialah musuhNya!” Dengan sungguh berani, pemuda itu berkata. Tiada sedikit pun rasa takut dan gentar berhadapan dengan Dajjal dan pengikut-pengikutnya yang berjuta itu. Dajjal menjadi berang dan bengang. Berani sungguh lelaki itu berkata sedemikian rupa di hadapan pengikut-pengikutnya.

“Wahai hamba-hambaku! Adakah kamu percaya akan apa yang dikatakan oleh lelaki ini? Dia tidak percaya bahawa aku ialah Tuhannya. Sungguh aku boleh buktikan bahawa aku ialah Tuhan. Aku boleh menghidupkan dan mematikan! Bukankah hanya Tuhan sahaja yang boleh berbuat begitu?” Setelah itu, Dajjal pun menggergaji dan membelah tubuh pemuda itu menjadi dua. Terbelahlah anggota kanan dan kirinya. Dia pun melewati tubuh itu dengan lalu di bahagian tengah di antara keduanya bagi membuktikan bahawa pemuda itu benar-benar sudah terbelah dua. Pengikut-pengikutnya hanya melihat tindakan ‘Tuhan’ mereka memperlakukan pemuda itu di atas bukit yang tinggi.

“Lihatlah! Aku akan hidupkan semula pemuda ini! Mana ada manusia yang boleh menghidupkan dan mematikan selain Tuhan sahaja?” Sekali lagi Dajjal menyeru pengikut-pengikutnya dari atas bukit. Seketika kemudian, dia pun mengarahkan pemuda itu supaya hidup semula dan kembali bernyawa. Pemuda yang tadinya dibelah dua oleh Dajjal kini kembali seperti asalnya dan hidup seperti mana yang diarahkan oleh Dajjal.

“Sekarang, adakah kau mempercayai bahawa aku ialah Tuhanmu?” Dengan bongkak, Dajjal pun bertanya. Pada anggaran kawan-kawan semua, apakah yang dibalas oleh pemuda itu? Maka, pemuda itu pun membalas. “Sesungguhnya aku menjadi bertambah yakin bahawa kau ialah Dajjal si pendusta. Keimananku pada Allah, Tuhan yang Maha Esa semakin kuat. Kau hanya dapat membunuhku dan menghidupkanku semula atas keizinan Allah. Apa-apa sahaja yang kau lakukan jika Allah tidak mengizinkannya, sudah tentu ia tidak akan berhasil.” Jawapan pemuda itu membuatkan Dajjal begitu marah dan dia mahu membunuh pemuda itu. Namun, kali ini apabila Dajjal mahu membunuhnya buat kali yang kedua, sedikit pun musuh Allah itu tidak dapat menyentuhnya. Berbagai-bagai cara yang telah dilakukan Dajjal untuk membunuh pemuda itu namun dia langsung tidak dapat menyentuhnya seakan ada sesuatu yang menghalangnya.

Akhirnya, pemuda itu mengangkat tangan ke langit dan berdoa, “Dengan namaMu Ya Allah, aku hidup dan aku mati.” Dengan izin Allah, pemuda itu pun tersungkur dan mati. Sesunnguhnya, dialah insan yang mendapat syahid yang paling tinggi darjatnya di dalam syurga.

Sahabat-sahabat saya sekalian, boleh saya teruskan lagi pengucapan saya? Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Semua rasul utusan Allah ialah bersaudara. Bapa mereka semuanya sama sedang ibu mereka sahaja yang berlainan. Agama mereka sama dan Tuhan mereka sama. Dan akulah yang paling rapat dengan Isa bin Maryam kerana tiada nabi di antara kami. Sesungguhnya, pada akhir zaman nanti dia akan turun ke bumi. Untuk mengenalinya, orangnya sedang, berkulit putih kemera-merahan dan memakai pakaian berwarna kuning. Dia turun ke bumi dengan tangannya memegang sayap dua malaikat. Rambutnya kelihatan seperti basah. Apabila dia tunduk, air mengalir daripada rambutnya, membasahi bumi. Apabila kepalanya mendongak, keluarlah untaian mutiara daripada rambutnya.”

Kawan seperjuangan saya yang dirahmati Allah sekalian. Turunnya Nabi Isa adalah pada waktu subuh. Itulah merupakan waktu Subuh yang terakhir buat umat Islam pada zaman kepayahan dan kegelapan fitnah Dajjal. Menurut pengkaji-pengkaji hadis, diriwayatkan bahawa Nabi Isa A.S akan turun di menara timur Masjid Jamek Amawi di Damsyik.

Nabi Isa pun memasuki masjid dan akhirnya bertemu dengan Imam Mahdi. Pada ketika itu, hati umat Islam yang ingin mendirikan solat Subuh berjemaah terasa begitu bahagia dan bersyukur. Maka tahulah mereka bahawa zaman Dajjal akan berakhir tidak lama lagi. Imam Mahdi mempersilakan Nabi Isa supaya mengimami solat Subuh pada pagi itu namun, dengan berhemah, Nabi Isa menolak dan berkata, “Sesungguhnya, iqamat itu dibacakan untuk kamu.”

Setelah mereka selesai mendirikan solat Subuh, Nabi Isa berkata, “Bukakanlah pintu itu!” Sebaik sahaja pintu masjid dibuka, kelihatan Dajjal dan 70,000 orang Yahudi yang siap bersenjata berada di luar. Kawan-kawan, sesungguhnya, 70,000 orang Yahudi itu tidaklah termasuk manusia-manusia yang terjerumus ke dalam kancah tipu dayanya, tidak termasuk para syaitan yang turut membantu Dajjal dan tidak termasuk bala tenteranya yang sudah ada ketika dia keluar menakluki bumi.

Nabi Isa, tanpa mengangkat pandangannya berjalan mendekati Dajjal. Apabila tiba sahaja dia di hadapan Dajjal, baginda pun mengangkat pandangannya. Pandangan matanya betul-betul menatap wajah Dajjal. Dajjal terkejut tatkala mendapati bahawa lelaki itu ialah Nabi Isa A.S. Tanpa perlu diberitahu, dia sudah tahu bahawa ajalnya sudah begitu dekat.

Kawan-kawan, pandangan Nabi Isa membuatkan Dajjal mencair seperti cairnya garam yang disirami air. Melihat bentuk rupa ‘Tuhan’ mereka yang sebenar membuatkan ada dalam kalangan mereka yang seakan baru tersedar. Dajjal tahu bahawa tiada gunanya jika dia melawan Nabi Isa. Oleh itu, dia pun berlari ketakutan ke arah Timur. Sebaik sahaja dia mengangkat pandangan, didapatinya bahawa Nabi Isa sudah berada di hadapannya. Dajjal kemudiannya lintang-pukang berlari ke arah Barat. Sekali lagi, dia mendapati bahawa Nabi Isa sudah berada di hadapannya. Selepas itu, Dajjal pun berlari ke arah negaranya, iaitu Israel. Dia menuju ke arah istananya, iaitu Haikal Sulaiman dan mendapati bahawa Nabi Isa sudah berdiri di hadapan pintu Lud dengan tombak di tangannya. Kali ini, Nabi Isa tidak lagi memberi peluang kepada Dajjal seraya tombak ditangan terus direjam dan menusuk menepati jantung Dajjal.

Tombak itu dicabut dan Nabi Isa A.S menunjukkan darah Dajjal yang masih mengalir di tombaknya itu kepada seluruh manusia. Terkejut besar pengikut-pengikut Dajjal apabila mendapati bahawa ‘Tuhan’ mereka telah mati. Maka, mereka pun berlari lintang-pukang mahu menyelamatkan diri. Mereka berlindung dan bersembunyi di merata-rata tempat dan dengan izin Allah, semua benda-benda termasuk batu, dinding dan pokok akan berkata-kata. “Wahai hamba Allah! Di belakangku terdapat musuh Allah. Bunuhlah dia!”

Rasulullah S.A.W bersabda, “Isa bin Maryam akan memimpin umatku dengan bijaksana dan adil. Beliau akan menghancurkan salib-salib yang ada di dunia ini dan akan
membunuh semua babi. Beliau juga akan menghapuskan cukai. Manusia pada waktu itu
tidak perlu membayar cukai, bahkan zakat pun tidak dibayar lagi kerana tidak ada orang yang berhak menerimanya. Pada hari itu semua makhluk dalam keadaan aman dan tenteram. Tiada yang saling cemburu, dengki, saling memarahi dan mengganggu antara sesama makhluk Allah. Sehingga ada anak perempuan yang bermain-main dengan harimau dan harimau itu
tidak menerkamnya, begitu juga kambing berkawan dengan serigala. Seluruh dunia
ketika itu nanti diliputi oleh kedamaian, keamanan dan ketenteraman. Bahkan
ketika itu nanti tidak ada pertelingkahan keyakinan dan pendapat. Tidak ada
yang disembah selain Allah. Orang Arab ketika itu nanti akan merampas kembali semua miliknya. Bumi mengeluarkan cahayanya, menumbuhkan tanam-tanamannya seperti zaman Nabi Adam. Sehingga manusia akan memetik buah anggur dan delima sehingga mereka kenyang memakannya.”

Diriwayatkan bahawa tempoh pemerintahan Nabi Isa ialah tujuh tahun. Ada yang mengatakan bahawa 40 tahun namun ijma’ ulamak mengatakan bahawa tujuh tahun kerana Nabi Isa turun ke bumi pada usianya 33 tahun dan dia akan wafat pada usia 40 tahun. Semua umat muslimin akan menyembahyangkan jenazahnya dan baginda akan dimakamkan di Madinah al-Munawwarah, berdekatan dengan makam Nabi Muhammad S.A.W. Dikatakan bahawa makamnya ialah makam yang keempat.

Rakan-rakan yang mendengar, pernah suatu ketika, Rasulullah S.A.W masuk ke dalam rumahnya dan mendapati bahawa Aisyah R.A menangis teresak-esak. Rasulullah pun mendekatinya dan bertanya, “Ya Humairaa, mengapa menangis?” Saidatina Aisyah pun berkata, “Wahai pesuruh Allah. Sesungguhnya kau telah menceritakan tentang Dajjal dan aku takut mendengarnya.” Rasulullah S.A.W berkata, “Jika dia datang ketika aku masih hidup, maka aku akan melindungi kamu daripada gangguannya. Jika dia datang ketika aku sudah tiada, maka kamu sendiri akan menjaga dirimu dan ingatlah, Allah ada untuk melindungimu. Sesungguhnya, Tuhanmu tidak buta dan cacat.”

Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda dalam khutbahnya, “Aku ialah nabi yang terakhir dan kamu pula ialah umat yang terakhir. Tidak mustahil Dajjal akan datang pada generasimu. Ingatlah, jika dia datang ketika aku masih berada di tengah-tengah kamu, maka aku akan menjadi pembela bagi setiap mukmin. Aku akan menjadi pematah hujah-hujahnya. Tetapi, jika dia datang setelah kematianku, maka setiap orang akan melindungi dirinya masing-masing dan Allah akan menjaga orang-orang mukmin.”

Kawan-kawan, begitu sekali sayangnya Rasulullah S.A.W pada umatnya. Namun, kini baginda sudah tiada lagi bersama dengan kita. Baginda sudah tiada lagi untuk menjadi pembela umat Islam. Habis itu, bagaimana kawan-kawan?

Ya Rasulullah, kau tinggalkan kami warisan yang abadi
dan bersaksilah sesungguhnya kami merinduimu

Kawan-kawan, Rasulullah meninggalkan al-Quran dan hadisnya bersama-sama kita. Dari Abu Darda’ R.A, Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Barangsiapa yang menghafal dan mengamalkan sepuluh ayat awal surah al-Kahfi, maka dia akan terselamat daripada kejahatan Dajjal.” Hadis riwayat Muslim. Dari Ibnu Abbas r.a, dia berkata, Rasulullah S.A.W mengajarkan kami doa ini sebagaimana beliau mengajarkan kami surah dari Al-Quran (dengan bersungguh-sungguh kerana pentingnya perkara ini), iaitu; "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari siksa Jahannam, dan aku berlindung kepada-Mu dari siksa kubur. Aku berlindung kepada-Mu dari fitnah Al Masih Ad Dajjal dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah kematian dan kehidupan." Hadis riwayat Ibnu Majah.

Oleh itu, bersama-samalah kita menjadikannya sebagai amalan seperti yang telah termaktub dalam hadis-hadis sahih ini. Kita perlu sentiasa berdoa agar kita sekeluarga dilindungi daripada fitnah Dajjal kerana pada ketika itu, boleh jadi pada siang hari dia seorang Muslim yang warak dan mentaati Allah dan pada malam hari dia telah menjadi pengikut Dajjal.

Sekian sahaja daripada saya, Nurul Ain Zakiah binti Yaccob. Maaf jika ada tersilap kata atau mempunyai kekurangan. Sesungguhnya, Allah lebih mengetahui. Sekian, terima kasih.

Labels: