bio list cbox entry




SA - BAB 32
Saturday, 18 January 2014 | 0 comments




93 melayangkan badannya. Dia menendang tepat ke pipi lelaki yang berkaca mata hitam itu. Sudah banyak kali lelaki itu tersungkur tatkala bertarung dengannya. Namun, banyak kali juga dia bangkit semula.

“Hah! Itu namanya sepakan gunting. Biasanya dibuat bila berada betul-betul depan pintu gol. Kadang-kadang sepakan ni dibuat untuk menerima sepakan penjuru. Tapi, sepakan ni biasanya dibuat sebab nak dapatkan gol yang cantik, faham?” bebel 93 setelah tubuhnya selamat mendarat. Dia merengus geram memandang lelaki yang sudah terduduk mengerang kesakitan itu. Pantas sahaja dia melangkah ke arah lawannya yang duduk di antas lantai.

“Ee... kenapa lemah sangat kau ni? Tadi aku tanya, kau faham ke tidak? Kenapa tak jawab?!” sergah 93 dengan tangannya yang sudah memulas telinga lelaki tersebut. Teragak-agak lelaki itu mengangguk. 93 tersenyum puas.

“Bagus. Dah sepak gunting, mesti kasi golkan, am I right?” ujar 93 seraya menepuk-nepuk urat di leher lelaki itu menggunakan dua jarinya sahaja. Dia memeluk tubuh sambil tersenyum manis.

“Aku tak nak jadi pembunuh. So, aku cuma bagi kau berehat aje. Mungkin untuk beberapa bulan,” ujar  93 sendirian melihat lawannya yang sudah rebah dengan mata tertutup itu. 93 mula beredar ke tempat lain.

Lelaki berkot hitam yang tinggi lampai itu akhirnya rebah. 91 tersenyum puas. Agak susah juga untuk menumpaskan lawannya yang keempat itu. Dia menjunamkan sikunya yang tepat ke arah dada kiri lelaki yang sudah mengerang kesakitan itu. Barulah dia yakin yang lelaki itu pastinya tidak akan bangkit lagi.

“Wah! Jiwa samurai dia dah keluar!” jerit 94 kegembiraan sambil menepuk-nepuk tangan. Ahli yang lain sudah tertawa kecil. 91 hanya menjeling tajam ke arah gadis yang sudah tersenyum lebar itu. Hakikatnya, dia langsung tidak terasa.

95 mengelak-elak hujanan tumbukan rawak itu.

“Ee... apa ni? Kotor tahu tak? Ee... tak suka betul.” Rungut 95 seraya menepuk-nepuk lengan baju yang berjaya ‘disentuh’ lawannya. Lelaki berbadan tegap itu sudah berlari ke arahnya. Dengan sekali libasan padu yang tepat ke dada, orang suruhan Hairy itu rebah tidak sedarkan diri.

“Urgh, tak ada class betul la tempat ni. Dah la gudang lama, banyak habuk, kotor! Siapa punya idea la ni?” bebel 95 sendirian.

Seseorang menarik kuat rambut panjangnya yang diikat  lepas seperti ekor kuda. Dia menoleh ke belakang. Satu jelingan maut dihadiahkan buat lelaki yang hanya memakai baju t hitam berlengan pendek. Saja nak tunjuk ototlah tu! Desis hati kecil 95. Sempat lagi gadis itu berdehem. Keningnya dijongketkan sebelah.

“Maaf  ya, cik abang. Tangan tu dah basuh ke belum? Nak pegang-pegang rambut aku pulak! Ee... mesti penuh dengan kekotoran tu. Urgh! Habislah rosak rambut aku lepas ni!” bebel 95. Lelaki itu sudah hilang kata. Dengan rasa geram 95 menumbuk perut lelaki itu bertalu-talu. Dia berhenti sejenak bagi mengambil nafas. Ternyata lawannya itu bijak mengambil peluang. Dia menyerang 95.

95 berjaya mengelak namun bahunya tetap menjamah tumbukan padu lelaki itu. Berkerut sedikit dahinya menahan perit.

Ouch, sakit tahu!” 95 terjerit kecil. Tidak semena-mena lelaki itu rebah ke hadapan. Pelik gadis itu melihatnya. Dia memandang Asyraf yang perlahan-lahan menurunkan sebelah kakinya yang diangkat tinggi. Mungkin melibas tengkuk lelaki tersebut, fikir gadis berambut panjang itu. 95 sebenarnya begitu terkejut melihat kehadiran lelaki bermata biru itu di sini. Namun, dia bijak mengawal riak wajah. Dia tersenyum seadanya pada Asyraf. Senyumannya berbalas sebelum masing-masing bergerak ke haluan sendiri.

91 mengesat peluh yang terbit di dahinya. Musuh yang ada masih ramai namun, kudratnya kian terhakis. Diorang ni bawak rombongan satu bas ke? Getusnya. Gadis bermata sepet itu menyepak kuat pelipat kaki lawannya. Terduduk lelaki itu dibuatnya. Peluang inilah yang segera diambil dengan melepaskan tumbukan tepat ke arah mata kiri lelaki berkot hitam itu. Senyuman sinis terukir di wajahnya melihat seorang lagi lawannya berjaya ditumpaskan.

Enough! Kalau tak, aku tembak dia!” jerit satu suara. Terhenti sejenak pertarungan sengit itu. Masing-masing memandang punca suara tersebut. Hairy mengacukan muncung pistol tepat ke leher 90. Dia sudah merangkul ketat leher gadis itu. Dalam payah, 90 mencebik.

“Tak habis-habis dialog yang sama. Cubalah ubah sikit dialog tu! Cuba tukar jadi ‘enough! Aku dah tembak dia’ barulah kitorang boleh berhenti.” Dalam suasana genting macam ni, 94 sempat bercanda. Jelas kedengaran suaranya menampar gegendang telinga semua yang ada ketika itu. Hairy sudah tidak keruan melihat reaksi semua orang yang langsung tidak cemas. Dia menelan liurnya.

“Oi, Encik Penculik! Takkan nak cari publisiti murahan pakai cara lapok macam ni? Orang dah tak heranlah!” jerit 93 pula. Tangannya masih lagi memegang kejap kolar baju orang suruhan Hairy yang sudah terkulai tidak sedarkan diri.

“Err, handsome! Janganlah tarik perhatian macam ni. Nanti mana you nak sorokkan muka you yang handsome tu? Sebabkan... orang zaman sekarang dah tak takut kalau diugut cara macam tu. Lagipun, I nak ingatkan you yang...” belum sempat 92 menghabiskan ayatnya, sudah ada yang menyampuk.

“Manusia yang kau pegang sekarang ni, bukan sebarangan makhluk tau! Dia tu Hulk!” pintas 91 dengan membuat riak wajah gerunnya. Gadis bermata sepet itu kembali menumbuk muka lawannya yang sudah tidak bermaya itu. Melihatkan 91 yang langsung tidak menghiraukan ugutan Hairy, yang lain pun turut sama menyambung ‘kerja murni’ mereka yang tergendala.

Hairy semakin tidak keruan melihat mereka yang hanya memandang remeh ugutannya. Otaknya gagal berfungsi dengan waras tika itu.

Pomm!!

Bunyi satu das tembakan dilepaskan. Terhenti segala pergerakan yang ada. Semua mata membulat memandang ke arah Hairy dan Ann yang sekadar disimbahi cahaya bulan dan lilin di atas meja berdekatan. Seven Anjells sudah terkedu. Kelihatan tubuh Ann sudah terkulai di pegangan Hairy. Mahu sahaja mereka berlari mendapatkan ketua mereka itu namun, 91 memberi isyarat agar teruskan sahaja pertarungan itu.

Hairy cemas. Dia langsung tidak menyangka bahawa jarinya telah menekan picu pistol emas itu. Terasa 90 sudah terkulai dalam pegangannya. Dia menundukkan sedikit kepalanya untuk melihat keadaan gadis itu. Terasa perutnya senak tiba-tiba. Rupa-rupanya gadis berlesung pipit itu menyiku kuat perutnya. Dahi Hairy berkerut menahan perit yang kian menjalar. Pantas ketua Seven Anjells itu menangkap kedua belah pergelangan tangan Hairy lalu dipusingkan dengan arah yang bertentangan. Pistol emas itu sudah jatuh ke lantai. 90 menumbuk sekuat hati ke muka Hairy. 

Lelaki itu sudah pening-pening lalat. Ketua Seven Anjells melayangkan lagi tumbukan tepat ke muka Hairy menyebabkan lelaki tinggi lampai itu rebah tidak sedarkan diri. Sempat juga gadis berlesung pipit itu menghentakkan kaki kirinya di bahagian belakang badan Hairy.

90 mengibas kedua belah tapak tangannya.

“Ee... gelilah aku pegang dia ni! Alergic tahu tak?!” beritahu 90 dengan raut wajah yang sudah geli-geleman. Baru sahaja dia hendak memusingkan badannya, terasa tubuhnya dipeluk erat dari belakang.

“Ann! Kau okey tak?” tanya 94 seraya meleraikan pelukan. 90 tersenyum manis ke arah anak buahnya itu. Ahli-ahli yang lain sudah menghampiri mereka. Mereka berpelukan, lama seperti sudah 10 tahun tidak berjumpa.

“Kau tak kena tembakkan, Ann?” tanya 92 risau. Dia cuba memastikan keadaannya temannya, mana tahu yang itu bukanlah Ann yang sebenarnya. Maklumlah, mereka kini berada di  kawasan lama. Banyak kemungkinan boleh berlaku. Sekali lagi 90 tersenyum manis seraya menggeleng.

“Tak, aku okey. Masa si nerd tu tekan picu, muncung pistol dia tiba-tiba tertolak ke depan. Lebih kurang 3 inci daripada leher aku.” Cerita 90 ringkas. Kedengaran yang lain sudah pun menghela nafas lega.

“Nerd? Itu… dia ke?” tanya 91 seakan tidak percaya. Ketua Seven Anjells itu mengangguk perlahan.

“Kau tahu tak Ann, aku mula-mula memang tak percaya langsung yang kau kena culik.” Beritahu 95.

“Nasib baik si Yaa ni bagitahu. Dia yang yakinkan kitorang,” tambah 92 pula. Terus pandangan mereka jatuh pada 96.

“Masa aku kena tangkap tu, aku telefon kau ke? Syukurlah... aku memang harap sangat orang yang aku telefon tu kawan-kawan aku.” Jelas 90 sambil tersenyum. 96 hanya tersenyum hambar sahaja.

“Tak kisahlah apa pun, yang penting semuanya dah selamat.” Ujar 93. Mereka sudah tersenyum puas.

“Raudhah?” tanya satu suara. Semua mata memandang sesusuk tubuh yang agak teruk dibelasah itu menghampiri mereka. Dahi Asyraf sedikit berkerut menahan sakit yang menjalar. Dia memegang bahu kiri yang tidak berjaya dielak sepenuhnya daripada beberapa tumbukan. Semua yang ada terdiam.

“Budak kampung?!” Tanya 90 terkejut.

“Apa yang kau buat dekat sini? Atau... engkau yang rancang semua ni?!” tegak saja telunjuk 90 menunjuk tepat ke muka lelaki bermata biru itu.

“Aku dah agak dah semua ni rancangan kau! Kau memang tak pernah puas hati dengan aku, kan?! Kaulah dalang di sebalik semua ni! Oh, kau upah si nerd gila tu suruh culik aku, lepas tu kau berlagak jadi hero la, ye?” Emosi 90 kini berubah berang. Hanya kedengaran suaranya sahaja memenuhi setiap penjuru gudang kain lama itu.

“Jangan harap aku boleh tertipu dengan muslihat kau! Lelaki semuanya sama! Kenapa kau diam? Sebab apa yang aku cakap ni betul, kan? Dah, aku nak balik.” Laju sahaja langkah 90 meninggalkan kawan-kawannya. Asyraf sudah kehilangan kata. Yang lain pula sekadar membisu.

96 yang hanya berdiam diri dari tadi mula mengekori langkah 90. Dia menarik kasar bahu ketuanya itu. Automatik badan 90 berpusing menghadapnya. Terus sahaja pipi ketua kumpulan Seven Anjells itu ditamparnya. Semua yang ada sudah tergamam. Muka 96 sudah kemerahan- menahan marah manakala 90 pula terpempan dengan tindakan drastik anak buahnya itu. Pipinya disentuh, seakan tidak percaya dengan apa yang telah dilakukan oleh gadis kacukan Jerman itu.

“Kau dengar sini, Ann. Aku tak terniat langsung nak lempang kau sebab kau sahabat aku. Tapi, aku perlu jugak buat semua ni untuk membetulkan segalanya. Kau dah melampau, Ann! Kau nak tahu, Asyraflah yang inform aku pasal semua ni. Dialah manusia yang kau telefon tu! Dialah Roy yang aku cakap tu. Kalau dia tak kesiankan kau, mesti dia langsung tak percaya situasi kau sekarang ni. Kau melampau, Ann. Kau melampau! Dia yang bersusah payah tolong kau! Kalau dia tak jawab call kau, kitorang tak ada dekat sini. Entah apa yang akan jadi dekat kau nanti.  Kau tahu, walaupun dia tak kenal kau siapa masa tu, tapi dia tetap nak tolong. Dia langsung tak kisah kalau itu cuma satu penipuan. Yang pasti niat dia memang nak tolong kau! Tapi kau, tak pernah fikirkan langsung perasaan orang lain! Kau tak pernah kisah perasaan orang lain. Yang kau tahu, hanya kau sahaja yang patut dihormati, digeruni dan dijaga perasaannya!” beritahu 96 dengan tangan masih memegang kejap kedua belah bahu 90. Dia menunduk menahan empangan air matanya. Gadis berlesung pipit itu sudah terdiam. Dia melepaskan pegangan 96 daripada bahunya.

“Sudah! Aku nak balik! Aku penat.” Ujarnya sebelum melangkah pergi. Langkah lajunya diekori oleh ahli-ahli Seven Anjells yang lain yang sedari tadi hanya diam mendengar. Sempat lagi 95 mengerling simpati ke arah 96 yang hanya tertunduk sebelum kelibatnya hilang di sebalik pintu utama gudang yang sudah pecah.

Asyraf menghampiri 96. Gadis itu mengangkat pandangan dengan muka yang sudah merona merah menahan tangis.

“Asy, jom balik.” Ajak 96 perlahan. Asyraf yang sedari tadi diam membisu hanya mengangguk perlahan. Mereka berdua melangkah longlai, keluar dari gudang kain lama itu.

96 terus masuk ke dalam keretanya. Dia melepaskan perasaannya di situ. Sebaik sahaja Asyraf mahu membuka pintu kereta bahagian sebelah pemandu, dia ternampak sesuatu di atas jalan raya. Asyraf tunduk bagi mengutip objek tersebut.

Handphone?” dahinya sedikit berkerut. Telefon bimbit itu dipegang sebelum dia memboloskan diri ke dalam perut kereta.

“Err... Alyaa.” Panggil Asyraf perlahan.

“Alyaa minta maaf , Asy. Alyaa tak patut libatkan Asy dalam semua ni. Maafkan Ann juga sebab dia tak tahu apa-apa pun pasal Asy. Semuannya salah Alyaa. Bukan Asy yang patut dipersalahkan tapi Alyaa.” 96 sudah menekup mukanya. Esakannya semakin kuat kedengaran. Sesekali dia menumbuk-numbuk stereng keretanya untuk melepaskan geram. Asyraf terdiam. Lelaki bermata biru itu memasukkan telefon bimbit yang dijumpainya ke dalam poket seluar. Dia membatalkan niatnya untuk bertanya lebih lanjut tentang barang yang dijumpainya itu.

“Ann, sorry. Aku yang salah, Ann! Aku lempang kau. Aku tipu kau. I’m sorry. I’m sorry, Ann. Aku ni jahat. Aku jahat! Akulah penyebab hubungan kita jadi macam ni. Kesian kau sebab dapat kawan macam aku,” semakin deras mutiara jernih yang mengalir dari pelupuk matanya tanpa diseka.

Asyraf yang hanya membisu mula mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia mula menelefon polis dan memberitahu hal sebenar. Dibiarkan seketika 96 tenggelam dalam gelora emosinya. Setelah selesai, talian diputuskan. Asyraf menghempaskan keluhan berat.

“Sudahlah tu, Alyaa. Awak tak salah apa-apa pun. Tak ada sesiapa yang bersalah dalam hal ni. Ini semuanya dugaan. Kita harus tempuhinya dengan jiwa dan fikiran yang matang. Tak ada sesiapa yang nakkan perkara macam ni berlaku. Kita redha sajalah. Pasti ada hikmah di sebaliknya.” Ujar Asyraf menenangkan gadis itu. Teragak-agak tangannya mahu mengusap bahu 96. Akhirnya dibatalkan sahaja niatnya itu. Dia kembali memandang ke hadapan.   

Setibanya polis di situ, Asyraf keluar dari perut kereta lalu mendapatkan seorang pegawai yang bertugas. Dia memberitahu kejadian yang sebenar. Kini kuncu-kuncu Hairy mula dibawa memasuki kereta polis seorang demi seorang.

“Kau! Jangan kau mimpi nak dapat Anna! Dia milik aku! Milik aku! Selamanya milik aku!” Lantang Hairy bersuara tatkala pandangan mereka bertaut. Seketika kemudian dia ketawa besar. Asyraf sekadar menggeleng.

“Diam!” Jerit seorang pegawai yang sedang menyeret lelaki tinggi lampai itu. Serta-merta tawanya mati.

“Apa yang istimewa sangat si kesurupan tu?” Bisik Asyraf sendirian. Usai gudang kain lama itu ‘dibersihkan’, Lotus Elise 2015 pantas meluncur laju keluar dari Jalan Tunku Abdul Razak.

Labels: