bio list cbox entry




BAB 8
Sunday, 7 April 2013 | 0 comments



Salah satu air terjun yang terdapat di universiti




BAB 8


Dia mula menyusun langkah menuju ke Taman Flourina. Mencari-cari port yang terbaik untuk dirinya melepaskan rindu pada hitam dan putihnya coretan yang tercalit pada sebuah novel. Kerusi batu panjang yang telah pun disenikan, menjadi pilihan hatinya kala ini. Segera dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi batu yang terselindung daripada cahaya sang suria, di sebalik pohon yang merimbun dedaunnya turut mendamaikan jiwa tatkala berada di taman itu.

           

Buat seketika, dia terfikir. Takkan 90 dah lupa apa yang dia suruh aku buat, ek? Terimbau kembali ingatannya akan kejadian yang berlaku di pejabat Seven Anjells. Tengok muka dia, macam tak ada apa-apa yang berlaku pun pada hari itu.

           

“Aku bagi kau tempoh selama 3 bulan aje. Cari seorang saja lelaki untuk kau kenakan, setaraf dengan misi kumpulan ni,” kata-kata ‘bidadari kejam’ itu serta-merta menyerbu ke ruang ingatannya. Sengaja ditekankan pada perkataan ‘seorang’. 96 mengeluh perlahan. Lebih kurang 2 minggu lepas arahan itu dikeluarkan namun masih segar ayat keramat yang diterimanya, mana bisa dilupakannya. 96 sedikit mengeluh. Sejujurnya dia pelik, kenapa susah sangat dia nak mempermainkan hati seorang lelaki? Kenapa begitu sukar untuk dia meneladani sikap ‘mulia’ sahabat-sahabatnya itu. Mungkin aku ni terlebih baik, agaknya? Dia berseloroh. Argh!!! Lupakan sajalah. Layan novel lagi best.

           

Novel yang sedari tadi berada kemas digenggamannya dibuka. Sehelai demi sehelai 96 menyelak muka surat yang dibukukan dengan penuh teliti. Mencari di bahagian manakah kali terakhir dia membaca. Setelah apa yang dicari dijumpai, lantas satu persatu perkataan yang tertera dibaca. Hobi membacanya diraih kembali. Dengan faktor angin lembut membuai rambutnya yang melepasi paras bahu lagilah membuatkan dirinya tenggelam habis di dalam dunia novelnya itu.

           

96 kalau sudah hanyut dengan novelnya, letak bom dekat sebelah dia pun, InsyaAllah tak sedar. Peratus untuk dia sedar itu sangatlah tipis. Memanglah, bom manalah keluarkan bunyi bising macam ayam berkokok. Orang biasa pun takkan sedar yang sebelah dia ada bom, kan? Sebab, teknologi semua dah maju. Apa class kalau pakai bom isi belerang?

           

Sedang khusyuk dia membaca novel, tiba-tiba telinganya dapat menangkap bunyi seseorang sedang sibuk mencari oksigen untuk dihantar ke paru-paru. Dah tak ada lagi ke oksigen dekat dalam dunia ni? Hatinya berbisik. Bunyi tersebut begitu hampir sekali dengan 96. Keningnya berkerut. Segera dipalingkan mukanya ke arah ‘orang semput’ tersebut.

           

‘Menganggu kententeraman awam betullah,’ leternya di dalam hati. Ikutkan hati, mahu saja dia menyemburkan ayat-ayat itu kepada manusia tersebut. Tetapi, dia terpana seketika tatkala melihat mata lelaki yang duduk disebelahnya. Mak aii... Matanya biru kehijauan? Alien planet mana yang dah tercicir anak buah ni?

           

“Marathon satu U ke?” tanpa segarit senyuman, dia bertanya sinis. Sengaja tidak mahu merendahkan ego wanitanya, biasalah… anak didik siapalah ni, kan? Kalau bukan kawan-kawannya yang lain, siapa lagi? Dengan ilmu sebesar kuman yang telah dipelajarinya itulah, mukanya masih berlagak selamba. Kalau nak diikutkan sifat dia yang benar sebenar-benarnya lagi sahih itu, tersenyum hingga ke tengkuklah dia. He he he… Handsome tak terkata.

           

“Assalamualaikum,” ujar lelaki itu selamba selepas lelah dan penat di dada tidak terasa lagi. Soalan yang diterima sengaja dibalas dengan sapaan kalimat suci itu. Biar gadis itu bengang dan malu. Ambik kau! Bengang, kan? Bengang, kan?

           

Tersirap terus darah 96. Marah pun ada, malu pun ada. Senang cerita, marah plus malu. 96 sedaya upaya mengawal reaksi wajahnya. Reaksi di muka tetap dibiar selamba. Sabar! Sabar!

           

“Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh!” hamek kau! Kasi penuh aku bagi. Kalau boleh, nak aje aku sambung kalimah yang lain biar kasi panjang macam ustazah aku jawab salam, cuma tak tahu aje. Bukan niatnya untuk mempermainkan kalimat suci itu, namun hatinya membentak keras kerana dipermainkan sebegitu rupa. Malu tahu!

           

“Budak baru ke?” tanpa mahu melayan terus perasaan yang terbakar hangus, 96 membuka bicara. Aduh! Yang aku pergi tanya soalan yang begok macam tu apa pasal? Tengok gaya aje dah tahu. Iyalah, takkanlah budak lama nak bawak beg sebesar alam macam ni? Dengan kepala senduk yang tersembul keluar segala, dah macam orang nak pergi mendaki gunung Everest aje. Gaya macam orang nak pindah rumah pun ada jugak. Analisis hati kecil 96. Lelaki itu mengangguk beberapa kali. Sangkaan 96 tepat sekali.

           

“Kenapa macam baru lepas kena kejar hantu aje tadi?” FBI tak bertauliahnya sudah bermula. Mahu saja tawanya berderai dek mengenangkan betapa pucatnya wajah lelaki itu. Mata cantik tak mata cantik. Memanglah dapat pancing fikiran aku tapi, muka dia pucat biru ni lagi tarik perhatian jahat aku. Menyesal aku tak bawak cam. Kalau tak, confirm dah terpampang besar muka si maco ni takut macam perempuan dekat laman web Seven Anjell. Hahaha… menyesal, menyesal. 96 tersenyum sendirian. Hati kejamnya berbicara. Mudahnya aku terpengaruh! Adoii!

           

“Saya… saya kena kejar dengan ‘Angry Bird’ moden!” terang lelaki itu. Sebut saja nama ‘Angry Bird’ moden, pucat lesi semula muka tampannya. Meletus kuat tawa 96.

           

Angry Bird moden? Dekat U ni mana ada Angry Bird! Entah-entah awak ni bermimpi di siang hari tak?” tawa 96 masih lagi bersisa. Tangannya menekan perut. Sakit perut aku tengok lelaki ni buat lawak!

           

“Betullah, dia seekor burung. Burung pelik! Betul, saya tak tipu! Mata dia macam helang tapi bentuk dia macam parrot! Kelajuannya tak ubah macam helang. Betul, tak tipu,” begitu bersungguh-sunguh lelaki itu memberi penjelasan. Tawa 96 mati serta-merta. Mata macam helang? Keningnya berkerut cuba mengingati sesuatu.

           

“Zoro!” hanya sepatah saja yang keluar daripada mulut 96. Suaranya yang sedikit tinggi mengejutkan sedikit lelaki itu.

           

“Zoro?”

           

“Ya, Zoro!”

           

“Siapa tu?”

           

“Tu, haiwan peliharaan kawan saya,” 96 menjelaskan. Sedikit terbeliak mata lelaki itu.  Kelihatan semakin banyak kerutan yang terhasil pada dahi lalaki itu.

           

“Haiwan peliharaan kawan awak? Kawan awak bela ‘Angry Bird’ tu? Biar betul! Tak mati ke? Tak kena patuk ke? Tak kena gigit? Garang tak? Tak takut ke? Dia patuh ke? Tak seram ke?” Dek kerana tidak percaya, lelaki itu menyoal pelbagai soalan. Berapa banyak soalan daa. Dah macam inspektor polis yang tak diiktiraf. Kalau cakap, laju macam roket pulak tu. Kalah Mak Jemah dekat Radio Era fm tu. Nak aje aku ketuk kepala dia dengan senduk nanti kang! Biar putus fius kepala otak dia.

           

“Hmm… by the way kenapa dia kejar awak?” tanpa menjawab satu pun soalan yang diajukan, dia pula bertanya. Rasa ingin tahu membuak-buak dalam hatinya. Tak ada maknanya aku nak jawab soalan dia. Maka, lelaki itu pun membuka ceritanya yang malang lagi tragis itu.





“CEH, mata duitan betullah pak cik tu! Sehelai kertas ni pun nak jual mahal. Hmm… setakat 50 hengget aje, aku tak heranlah. Daripada tersesat dalam universiti sebesar alam ni, terima ajelah. Eh, mana boleh! Harganya tak setanding dengan barangnya. Lainlah kalau aku beli peta dunia ke, peta Grandline yang ada dalam cerita One Piece tu… barulah patut. Hisy!” Dia seakan bertelingkah dengan dirinya sendiri. Nasib baik tak ada orang dekat situ. Kalau ada, mesti dah dapat nama dekat Tanjung Rambutan.



Rasa ketidakpuasan hatinya dihamburkan khas buat pak cik penjual peta universiti swasta itu. Nasib baiklah pak cik tu tak perasan. Kalau tak, dah kena baling dengan selipar Jepun, agaknya. Pada akhir ayatnya, dia sempat menjelirkan lidah ke arah sebuah kedai sederhana besar itu. Peta universiti yang baru dibelinya dikemaskan lagi genggamannya.

           

“Wekk!” Nak tawar sikit pun tak boleh. Apalah. Rungut hati kecilnya.

           

Asyraf meneruskan perjalanan untuk ‘meneroka’ universiti ini. Pintu gerbangnya tadi pun, fuh! Besar, beb! Megah gitu. Hatinya begitu teruja. Dah macam rusa masuk kampung, dah. Setiap bangunan yang dilalui, pasti mendapat pujian percuma daripadanya. Macam ni ke rupanya cawangan universiti swasta yang tersohor di US tu. Hatinya berbisik. Muka terujanya jelas kelihatan.

           

Pelajar yang lalu lalang memandangnya pelik. Sahlah dia ni budak kampung. Asyraf yang perasan akan situasi mata-mata yang memandangnya segera membuat muka macho sambil membetulkan sedikit cermin mata berbingkai hitamnya. Senyuman manis dihadiahkan tatkala mata mereka bertemu. Cover bengang. Ecehceh… poyo! Selangkah demi selangkah. Hari ini sudah berapa kilometer dia berjalan kaki, dia sendiri tidak tahu.

           

Bunyi deruan air pancut menarik perhatiannya. Teruja lagi! Matanya masih lagi tertancap pada kolam air pancut yang disenikan lagi dengan landskap yang mendamaikan. Kakinya masih lagi kaku. Saja nak buat roadblock tengah jalan. Seketika, dia tersedar. Matanya kembali fokus pada peta universiti itu. Dia perlu mencari di manakah terletaknya pejabat utama.

           

Penat melangkah akhirnya dia mengambil keputusan untuk berehat sebentar. Dia melepaskan lelah di sebuah bangku panjang yang berdekatan. Asyraf mengeluarkan plastik roti gandum yang disimpan di dalam beg galas lalu diletakkan disisinya. Dia kembali meneliti peta itu sambil dikunyah perlahan roti gandum itu, lagak seorang profesional sedang befikir mencari jawapan. Matanya tidak dianjakkan walau seinci daripada meneliti peta yang dipegang kemas itu. Tangan kanannya yang kembali kosong pantas mencapai bungkusan yang berada di disisinya tadi. Namun hasilnya kerutan di dahi. Mana roti aku? Soal hati kecilnya. Akhirnya, fokus Asyraf terganggu sehingga memaksanya untuk menoleh ke sisi. 

           

“Mak oii! Terkejut aku.” Asyraf terjerit kecil. Dia sudah tidak kisah dengan mata-mata yang memandangnya aneh sebab masa tu, dia tengah terkejut yang amat.



Patutlah hilang roti aku, ada yang menumpang rupanya. Tak mintak kebenaran pulak tu. Leteran yang panjang lebar itu hanya tersemat di hati. Mata dia macam helang! Tapi, shape dia tak ubah macam parrot. Siap ada jambul lagi. Burung apa ni? Sempat hatinya berkata-kata.



 “Biarlah, dah rezeki dia.” Berkata Asyraf sendirian. Sejujurnya mana mungkin makanan kegemarannya boleh dikongsikan.



Sedikit aneh dibuatnya apabila mereka-mereka yang melalui jalan di sekitar itu segera bersembunyi pabila terpandangkan kewujudan burung aneh tersebut. Kawasan di sekitarnya kini bertukar sepi tanpa kehadiran manusia lain.



Malas hendak mengambil tahu, matanya kembali menatap peta yang masih dalam pegangan. Seketika perutnya berkeroncong membuatkan dia sesekali mengerling ke arah burung aneh yang sedang leka mengoyakkan sekeping roti gandum yang tidak jauh dari sisinya. Sasarannya beralih pula kepada plastik roti yang hampir kosong isinya. Asyraf menjenguk sedikit ke dalam isi plastik itu. Dia menghembus sedikit berat nafasnya takala mendapati roti gandum itu hanya tinggal sekeping sahaja.



Segera tangan kanannya menyeluk masuk ke dalam perut plastik namun pantas dipatuk oleh burung aneh itu. Pantas juga Asyraf menarik kembali tangannya akibat terkejut. Tangannya tidak langsung merasa sakit pabila dipatuk kerana burung aneh itu mempunyai paruh yang sebijik dengan kakak tua.    



“Ewah kau.. lebih-lebih pulak,” Cebik Asyraf bernada geram sambil memerhatikan burung itu atas bawah. Burung aneh itu juga tidak mahu mengalah malahan ditenung tajam ke dalam anak mata Asyraf.



Masing-masing tidak mahu mengalah. Hanya kerana sekeping roti yang langsung tidak bersalah dalam kes ini. Segera tangan Asyraf memegang erat plastik roti itu, berhasrat untuk memakan isinya namun dipintas pantas oleh burung itu. Dengan hanya menggunakan cengkaman kuku kakinya yang tajam, dia berusaha menyeret plastik itu ke arahnya.



Maka, berlangsunglah perebutan sengit. Peta universiti itu pula sudah lama tercampak ke tanah dek kelekaan Asyraf yang bermain tarik tali’ dengan haiwan yang tidak dikurniakan akal. Memang nampak macam tak waras. Tapi, Asyraf kisah apa? Dengan sekuat tenaga, Asyraf menarik plastik itu lalu diletakkan ke dalam dakapannya. Plastik yang sedikit terkoyak akibat cengkaman kuku tajam burung aneh yang seperti helang itu langsung tidak diendahkan.



“Dimulakan dengan Bismillah...,” ucap Asyraf seraya memasukkan pantas roti gandum yang terakhir itu ke dalam mulutnya. Sengaja dia memejamkan mata bagi menunjukkan reaksi kesedapan yang teramat sangat. Hatinya masih lagi mahu mengusik haiwan aneh itu.



Namun telinganya menagkap bunyi kertas dikoyakkan. Perlahan-lahan kelopak matanya diangkat untuk mencari sumber bunyi itu.



“Hoi! 50 ringgit aku!” Lantang suara Asyraf memecah sunyi. Entah bila burung aneh itu sudah berada di tanah sambil mengoyakkan petanya.



Pantas dia bertindak mahu menangkap haiwan itu namun pantas juga burung itu membuka sayap lalu terbang.       



“Hoi burung pelik! Turun sini! Kecut apa?” Marah Asyraf sambil menuding jari ke arah burung itu yang sedang gah membelah angin.



“Jaga kau. Kalau kau turun nanti aku patah-patahkan kepak kau jadi ayamlah jawabnya, tak boleh terbang lagi.” Bebel Asyraf sendirian. Segera dia memungut peta yang sudah berlubang itu.



“Rosak peta aku.” Ujar Asyraf sambil mengangkat sedikit peta itu. Mata kanannya dimuatkan untuk melihat melalui lubang yang ada. Kini matanya tertancap pada sesuatu yang sedang terbang laju meluru ke arahnya. Dari jauh, dia boleh nampak burung tersebut terbang laju ke arahnya macam peluru berpandu. Sasaran telah dikenalpasti. Apa lagi? Ambil barang dan cabuttt!!!


Labels: