CONTOH KARANGAN SPM BAHAGIAN B - ISU PEMERDAGANGAN MANUSIA
KES PEMERDAGANGAN MANUSIA MENJADI DURI DALAM DAGING
Pemerdagangan manusia merupakan antara isu terhangat yang menjadi topik bualan rakyat di setiap empat penjuru negara kita. Setiap zaman yang bergulir, bahtera Malaysia yang turut sama merantau di samudera dunia langsung tidak terlepas berdepan dengan cabaran-cabaran yang mendatang. Namun, semakin dekat kita dengan gerbang kemajuan 2020, ombak cabaran yang membadai semakin deras dan mengganas. Baru-baru ini, kita digemparkan dengan isu panas 'Van Putih' yang dikatakan sindiket haram yang datang dari Thailand menculik golongan muda remaja khususnya untuk menjual organ dalaman mangsa. Sudah tentu masih lagi segar dalam ingatan kita berikutan kes Nurin Jazlin, kanak-kanak yang mati dalam keadaan yang sangat menyayat hati kerana tangan-tangan durjana yang merupakan gunting makan di hujung terhadap bangsanya sendiri. Ke mana hilangnya ketamadunan dan keindahan peradaban bangsa Melayu yang menjadi kebanggaan sejak zaman-berzaman? Ke mana pula perginya generasi progresif dan madani serta bersahsiah terpuji yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara? Sebagai insan yang cakna akan hal-hal yang meluputkan nama negara di pentas dunia, kita seyogianya bangkit bersama-sama menanggar amanat pejuang bangsa dan tidak seharusnya membutakan mata, memekakkan telinga dan membisukan kata. Tegal itu, semua lapisan masyarakat perlu digarap dan dikerah agar bersama-sama membanteras masalah pemerdagangan manusia.
Sudah semestinya pihak institusi kekeluargaan memainkan peranan vital dalam membanteras masalah pemerdagangan manusia. Hal ini berlaku demikian kerana, pencegahan yang paling berkesan adalah sewaktu peringkat rebung lagi kerana tatkala rebung tiada dipatah, ketika sudah aur apalah gunanya. Ibu bapa yang merupakan nakhoda kapal keluarga perlu mengambil tahu aktiviti anak-anak daripada pelbagai aspek. Pada zaman teknologi melampaui batas pemikiran manusia ini, kita tidak boleh beranggapan bahawa si anak tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti selagi si anak hanya duduk di dalam rumah dan melayari Internet. Ibu bapa perlu menjaga tepi kain anaknya kerana walaupun anak mereka tidak bergaul dengan golongan remaja yang tidak sepatutnya, tetapi boleh jadi anak tersebut terlibat dengan aktiviti jenayah siber yang boleh mengundangnya untuk terjerumus ke dalam kancah masalah pemerdagangan manusia. Anak-anak merupakan harta kita yang paling bernilai dan tidak terbayar hatta dihulur segunung emas dan mutiara sekalipun. Ibu bapa dan anak mempunyai hubungan hati yang kuat antara satu sama lain. Oleh itu, gunakanlah kelebihan ini untuk membuat pendekatan secara individu dengan anak-anak. Meskipun pada usia yang baru setampuk jagung ini, remaja lebih cenderung untuk bergaul mesra dengan kawan-kawan berbanding ibu bapa, janganlah terus menongkat dagu dan mengeluh tanda berputus asa kerana berpantang mati sebelum ajal. Gunakan pendekatan yang bijak dan menarik agar dapat memancing perhatian anak-anak sekali gus mereka lebih cenderung untuk menjadikan ibu bapa sebagai tempat mereka menumpang bahu apabila berduka dan tempat mereka berpeluk tatkala gembira. Bertitik tolak daripada itu, kes remaja lari dari rumah juga dapat dikurangkan. Tegal itu, kes pemerdagangan manusia juga akan semakin sirna jika kurangnya remaja yang menerawang bersendirian di tengah kota untuk mencari tempat berteduh kerana lari dari rumah. Tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam hal ini kerana ibu bapa merupakan asas pembangunan ummah.
Pihak sekolah turut memainkan peranan utama dalam mewarnakan usaha-usaha menentang masalah pemerdagangan manusia. Seperti yang kita sudah sedia maklum bahawa pihak sekolah merupakan antara pihak yang mentarbiahkan para remaja pewaris bangsa dalam variasi aspek. Puspawarna tanggungjawab yang dijalankan oleh pihak sekolah sedikit sebanyak telah mempengaruhi peratus kenaikan dan penurunan isu gejala sosial dalam kalangan remaja di negara kita. Apakah hubung kait antara masalah pemerdagangan manusia dengan pihak sekolah? Sebagai insan yang kamil, kita telah diberikan akal untuk merenung dan membuat kajian tentang sesuatu. Mangsa-mangsa kes pemerdagangan manusia kebiasaannya ialah remaja. Tegal itu, pihak sekolah perlu menerapkan jati diri dalam kalangan murid. Bukan itu sahaja, nilai-nilai murni dan integriti yang baik seharusnya dibenihkan dalam diri murid-murid. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan murid-murid menyayangi ibu bapa mereka, keluarga dan paling utama adalah diri mereka sendiri. Mereka juga akan lebih berwaspada terhadap orang yang tidak dikenali kerana di sekolah, mereka telah diberi pendedahan tentang perkara tersebut. Di samping itu, pihak sekolah boleh mengadakan pelbagai aktiviti bagi membanteras kes pemerdagangan manusia seperti membuat demonstrasi tentang cara-cara melarikan diri dan mengelak apabila berlaku insiden-insiden yang tidak sepatutnya seperti penculikan. Murid-murid juga perlu diwajibkan mengikuti ceramah perdana daripada pihak polis tentang masalah pemerdagangan manusia.. Apabila hal ini berlaku, kadar kes penculikan, pelacuran, penjualan organ dalaman dan sebagainya akan berkurang kerana para murid telah diberi pendedahan secara meluas tentang isu ini. Kesimpulannya, bukan sahaja kes pemerdagangan manusia akan dapat diatasi malahan kita juga dapat melahirkan generasi yang mempunyai jati diri yang tinggi. Pujangga Melayu ada berkalam, sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terdampar.
Pada zaman nano ini, pihak media massa tidak terlepas daripada menjadi enjin penggerak jentera negara. Rakyat yang lahir pada zaman pascakemerdekaan lebih cenderung untuk mengikuti berita-berita bualan semasa menerusi televisyen, surat khabar dan juga Internet. Oleh itu, pihak media massa perlu untuk turut sama membanteras isu hangat ini. Pihak media massa boleh membuat segmen khas tentang kes pemerdagangan manusia sebagai tanda bahawa peri pentingnya rakyat untuk mengetahui hal ini. Kes pemerdagangan manusia seperti menjual bayi, menjual organ dalaman, pelacuran dan dijadikan pengemis merupakan duri dalam daging yang boleh meruntuhkan peradaban negara. Sindiket-sindiket gelap tersebut lebih suka untuk memperdagangkan golongan remaja yang merupakan pemangku kepimpinan negara. Apabila ramai remaja kita yang terlibat dalam masalah ini, apakah yang akan terjadi pada masa hadapan negara? Seperti kata mutiara Imam al-Ghazali, jika kita mahu mengetahui masa hadapan sesebuah negara, lihatlah belianya pada masa ini. Sudah tentu kita tidak mahu impian Wawasan 2020 ranap ditimbusi kemelut masalah pemerdagangan manusia ini. Tegal itu, jika kita sudah tahu akan pentingnya isu ini untuk dikupas oleh orang bijak pandai negara, tidak salah untuk pihak media massa meluangkan suatu masa untuk membincangkan topik ini agar membuka minda orang ramai dari segenap lapisan masyarakat untuk bersiap siaga. Pihak media massa juga boleh membuat pendedahan tentang sindiket-sindiket haram yang merupakan punca banyaknya pengemis bertaburan di strata pelosok ibu kota. Pendedahan sindiket-sindiket ini bertujuan untuk mengelakkan kebanjiran pengemis di negara kita. Jika kita mahu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan gergasi-gergasi ekonomi dunia yang lain seperti Jepun, Amerika Syarikat, England dan sebagainya, kita seyogianya tidak akan membiarkan hal ini terus berkudis di negara kita. Jelaslah bahawa pihak media massa tidak ketinggalan sama bergerak sederap dalam membasmi isu pemerdagangan manusia yang berlaku di negara kita. Jika kita mahu melahirkan generasi hebat, kita perlu bertindak sekarang kerana bak kata Alex Osborn, "Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu."
Sebagai menggulung hujah yang panjang lebar, jelaslah bahawa institusi kekeluargaan, pendidikan serta pihak media massa memainkan peranan penting dalam membasmi kebangkitan isu pemerdagangan manusia. Hal ini tidak bermaksud golongan dan pihak lain tidak perlu ikut serta menentang aktiviti tidak berperikemanusiaan ini. Memegang cogan kata '1 Malaysia' merupakan petanda penting perpaduan begitu diperlukan dalam menjayakan sesebuah misi dan visi kerana bersatu teguh, bercerai roboh. Bahtera Malaysia diharapkan dapat terus megah mengharungi pelbagai onak ranjau kehidupan duniawi. Kita perlulah menebalkan segala ilmu pengetahuan di dada agar dapat meneruskan perjalanan hidup yang berliku. Semua lapisan masyarakat diseru agar bersama-sama menggembleng tenaga membanteras masalah pemerdagangan manusia yang kian menular dalam kalangan masyarakat di negara kita. Akhir sekali, diharapkan masalah ini dapat dicegah pada peringkat rebungnya sebelum cacing naik ke mata supaya kita dapat mencapai cita-cita agung mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, iaitu Wawasan 2020.
#OLEH : NURUL AIN ZAKIAH BINTI YACCOB
IKUTI NOVEL-NOVEL DAN CONTOH KARANGAN DAN CONTOH ESSEI YANG LAIN. =)
KBYE~
Labels: Essay, Karangan
SPM ENGLISH ESSAY : HORROR AND LESSON STORY
FIERY AND MY SPOOKY MEMORY
Every time I pass through Redhills Residential, my memory will flash back 20 years before. It was the incident that still
resonates in my mind. Although Redhills Residential now is crowded with
skyscrapers mushrooming the city, but in my mind's eye, I can still imagine
the dilapidated building which was the place I grew up.
I was a ten-year-old little boy when the event happened. On that evening, my parents were not at home. A day before, my friend had told me how to call the good and bad spirits. I thought it was a funny thing when we could see the spirit or ghost because I imagined their faces were like the characters in the kid's television programme.
I lit up the candle and put it on the oval dining table which was full of clothes at that time. I read out the spell using
my thunderous voice many times. When my friend did it a day before, I just
followed suit.
Out of the blue, I felt my body trembling as though my home had been struck by a strong lightning. I stopped reading the spell and suddenly
there was a deathly hush in the dining room.
Blood crept into my face.
I could feel
someone eyeing me up and down and it made me scared.
Sweat started snaking down my head to my neck and
the astounding silence allowed me to hear my own heartbeats. Thump, thump, thump.
The sudden petrified laugh gave me the creeps and I could see a woman who had
a terrifying face standing at the corner of the room,
letting out a piercing grin. I was
tremendously appalled when I saw her face
bleeding profusely and with her
elongated eyes, she shot me an
antagonistic glance.
I quivered with fear and without wasting any more time,
I ran as fast as a bullet train to my room which was located at the second floor. As I entered my room, I stood behind the door and
waited for the surge or adrenaline to dilute. I was very frightened to turn back because of the long-haired woman but then,
I was perplexed when I could smell something burning.
When I opened the door,
a thick cloud of smoke, billowing up from the ground floor, greeted me. For an instant,
I was incapable of speech because
I was oblivious to what was happening. My house was on fire!
"Help! Help!"
I bawled out loud but
it seemed implausible to reach anyone's ears.
I cried out in fear of my life. There was nothing that I could think except death. It was
an indescribable feeling.
I
adventitiously heard someone banging on the main door but
in the mayhem, I could not tell it precisely. After a few moments, it became silent and I just knelt down hopelessly. Although
the hope to survive was frail, I kept praying.
I could feel someone grabbing my arm and we dashed downstairs. All I could remember was I was at my backyard, watching
the firefighters put out the blaze.
It was my father who saved me. I asked him why he did that even though he already knew that it was
too hazardous to enter the house at that time.
He said gently, "
When someone that you love is in danger, a thought of fear will never cross your mind." My mom
flashed me an angelic smile. It was the last time I did such a stupid thing. I will not do anything without thinking straight. I had learnt a new lesson of life.
#WRITTEN BY : ME. NURUL AIN ZAKIAH BINTI YACCOB. =)
#CREDIT TO MY BEST ENGLISH TEACHER EVER : PN. HJH ROZANA BINTI ALI. :)
#THIS IS MY TRIAL ESSAY AND I MODIFIED THIS STORY AND USED IT DURING SPM.. ;)
#HOPE IT CAN HELP ALL OF YOU..
Labels: Essay, Karangan
TEKS ULBS SAYA. :)
Hari ini, saya ingin kongsikan sebuah cerita yang diolah oleh saya sendiri. Saya menjadikannya sebagai teks ULBS Bahasa Melayu saya ketika di Tingkatan Lima. Alhamdulillah.. cikgu bagi markah penuh.. ~(^,^)~
Assalamualaikum w.b.t
dan selamat sejahtera saya ucapkan.
Yang
dihormati, Pn. Harliza binti Esa dan sahabat-sahabat seperjuangan saya
sekalian. Sebelum saya menutur kata seterusnya, terlebih dahulu saya ingin
memohon ampun dan maaf sekiranya pengucapan awam saya ini mempunyai kesilapan
dan kekurangannya. Sesungguhnya, apa-apa yang saya ucapkan sebentar nanti
merupakan hasil yang telah saya kaji berdasarkan beberapa sumber dan antara
salah satunya ialah hadis Nabi S.A.W. Sebarang dialog yang ada bukanlah persis
dan tepat seperti yang sebenarnya. Sesungguhnya, kesahihan masih tidak dapat
dipastikan lagi dan kepada Allah jualah yang Maha Mengetahui.
Surah
al-Kahfi, ayat 1 hingga 10. Nampaknya, sudah ada dalam kalangan kamu yang dapat
mengagak tajuk apakah yang bakal saya ketengahkan pada hari ini?
Kawan-kawan
yang dirahmati Allah sekalian. Boleh sesiapa beritahu saya, apakah keistimewaan
sekiranya seseorang mengamalkan surah al-Kahfi ayat 1 hingga 10? Benar. Rasulullah
sendiri pernah bersabda bahawa membaca permulaan surah al-Kahfi boleh
menghindarkan kita daripada fitnah terbesar pada akhir zaman iaitu fitnah
Dajjal Laknatullah.
Maka
ketahuilah rakan-rakan sekalian, tajuk pengucapan awam saya pada kali ini ialah
tentang seorang manusia yang membawa fitnah terbesar pada penghujung zaman
nanti hinggakan tercetusnya perang dunia ketiga yang dipanggil Armagedon iaitu Al-Masih
Dajjal.
Sebelum
kita menyentuh topik ini dengan lebih mendalam, kawan-kawan semua, kenalkah
kita pada Dajjal? Menurut hadis riwayat Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim,
Rasulullah S.A.W berdiri di hadapan
manusia, menyanjungi dan memuji Allah, Tuhan semesta alam kemudian menyebut
Dajjal dan berkata; Aku memperingatkan kalian tentangnya. Tidaklah ada seorang
nabi pun yang tidak mengingatkan ummatnya tentang Dajjal. Nabi Nuh A.S telah
memperingatkan kaumnya. Akan tetapi, aku akan menyampaikan perkara yang belum
pernah disampaikan oleh nabi-nabi sebelumku. Ketahuilah bahawa Dajjal itu buta
sebelah matanya dan Tuhanmu tidaklah buta matanya. Dan di antara kedua matanya
tertulis ‘Kaf, Fa, Ra’ (KAFIR) yang boleh dibaca oleh setiap orang mukmin
meskipun dia seorang yang buta huruf.
Dari Malik,
dari Nafi' dari Abdullah bin Umar R.A : Rasulullah saw bersabda, "Pada
suatu malam aku bermimpi di sisi Ka'bah, aku melihat seorang lelaki tampan,
sebagaimana kamu pernah melihat seorang lelaki tampan, dia berambut ikal
sebagaimana kamu pernah melihat seorang lelaki tampan berambut ikal. Dia menguraikan
rambutnya yang masih basah. Dia bersandar kepada bahu dua orang sambil
melakukan Tawaf di Baitullah. Lalu aku bertanya, 'Siapakah lelaki ini? ' Ada
yang menjawab, 'Dia adalah al-Masih bin Maryam' (Nabi Isa a.s). Kemudian
tiba-tiba aku didekati seorang lelaki berambut kerinting, sebelah matanya buta
seperti buah anggur yang masak ranum (maksudnya matanya keluar). Lalu aku
bertanya, 'Siapa pula lelaki ini? ' Ada yang menjawab, 'Dia adalah al-Masih
Dajjal'." Hadis riwayat Muslim.
Sebelum
kemunculan Dajjal, seluruh dunia ditimpa ujian yang hebat selama tiga tahun.
Pada tahun yang pertama, hujan hanya turun sebanyak dua per tiga daripada
kebiasaannya. Pada tahun yang kedua pula, hujan hanya turun sebanyak satu per
tiga sahaja dan untuk tahun yang ketiga, hujan tidak turun langsung!
Bayangkanlah
kawan-kawan yang dirahmati Allah sekalian. Betapa susahnya kehidupan pada waktu
itu. Satu dunia menjadi kering-kontang. Kawan-kawan, sedangkan pada awal tahun
2014 sehingga bulan Mac, air hujan jarang-jarang menyirami hampir segenap bumi
Malaysia, kita sudah pun terasa kepayahan dan kejerihannya. Cuaca yang panas
melampau dan kegunaan air pula dicatu. Itu baru Allah tahan untuk tiga bulan
sahaja kawan-kawan. Empangan pun hampir mencecah tahap kritikal. Habis itu,
macam mana keadaannya untuk 12 bulan, hujan tidak turun-turun? Empangan
kering-kontanglah jawabnya!
Rakan-rakan
seperjuangan saya sekalian, saya mahu bertanya pada kamu, apakah sumber utama
untuk menghasilkan tenaga elektrik yang menjadi kegunaan harian oleh penduduk
bumi? Seperti yang sudah kita ketahui, sumber yang terbesar menjana tenaga
elektrik ialah empangan hidroelektrik. Habis itu, macam mana keadaannya jika
empangan kering? Maka, bergelap dan berpanaslah kita tanpa adanya sumber
elektrik. Pada ketika itu, hampir seluruh dunia ketiadaan elektrik. Saya
tidaklah mengatakan bahawa segenap dunia ketiadaan elektrik pada waktu itu.
Sudah tentulah tidak. Ada yang menggunakan kuasa angin, tenaga solar dan
sebagainya tetapi empangan hidroelektrik lebih menjerumus kepada negara kita,
Malaysia.
Kawan-kawan,
apabila ketiadaan elektrik, mampukah kilang-kilang terus berfungsi memproses
produknya? Mampukah stesen-stesen minyak mengeluarkan petrolnya untuk diisi ke
dalam tangki minyak kenderaan? Mampukah gas-gas asli diisi ke dalam tong gas
untuk digunakan untuk memasak? Mampukah pelantar-pelantar minyak terus mencari
gali petroleum dan gas asli yang tersimpan di dalam perut bumi? Mampukah
institusi-institusi dan syarikat-syarikat meneruskan jadual hariannya?
Lihatlah
betapa susahnya manusia pada zaman itu. Mungkin ada di antara kita yang
menganggap bahawa, “Alah, bukannya kita tidak ada sumber yang lain. Alah,
bukannya kita tidak boleh simpan bekalan makanan, bukannya kita tidak boleh
berikhtiar untuk usaha lain. Alah, kita kan boleh buat pembenihan awan. Apa nak
susah!”
Kawan-kawan,
tanyalah diri anda sendiri. Siapa sahaja yang sanggup berpanasan selama sehari
suntuk di dalam rumahnya ketika ketiadaan elektrik? Serasa saya, ada sahaja
mulut yang mengomel, “Panaslah!”, “Gelaplah!”, “Bosanlah televisyen tak ada,
modem internet pula mati, nak beli internet, kredit tak ada.” dan mungkin juga ada yang berkata, “Panas
betullah Malaysia ni, selalunya ada pendingin hawa, rasa macam duduk dekat
England aje. Ini tidak, panas dan merimaskan!”
Maka
jelaslah bahawa pada waktu itu, secara amnya, seluruh dunia susah. Mungkin juga
banyak berlaku kes kematian kerana kebuluran dan dehidrasi. Kehidupan pada masa
itu kembali pada zaman beribu-ribu tahun lampau iaitu zaman batu. Kita
menggunakan batu untuk menghasilkan api. Memakan pucuk-pucuk tumbuhan untuk
terus hidup. Sudah tiada lagi makanan yang dipanggil Kentucky Fried Chicken, McDonald, Pizza Hut dan sebagainya.
Ketika zaman
kepayahan itulah, al-Masih Dajjal pun keluar menjelajahi bumi dengan membawa
segunung roti. Menurut hadis nabi, turut dibawa bersamanya dikatakan syurga dan
neraka. Ketahuilah kalian bahawa yang dikatakan syurga itu ialah neraka dan
yang dikatakan neraka itu ialah syurga. Barangsiapa yang disiksa di dalam
nerakanya yang panas, maka hendaklah dia membaca pangkal surah al-Kahfi.
Nescaya api itu akan menjadi sejuk seperti sejuk dan nyamannya api yang
membakar nabi Ibrahim A.S.
Pada
awalnya, Dajjal mengaku bahawa dia ialah seorang rasul utusan Allah. Seperti
mana Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Pada mulanya, Dajjal akan mengaku
sebagai nabi. Ingatlah, tiada lagi nabi setelahku. Setelah itu, dia mengaku
bahawa dia ialah Tuhan. Ingatlah sesungguhnya, Tuhanmu tidak akan kamu lihat
sebelum kamu mati dan Dajjal itu cacat matanya. Sesungguhnya Allah tidak cacat
dan tidak sama dengan yang baharu.”
Tempoh
Dajjal menjelajahi bumi ialah 40 hari. Satu hari panjangnya seperti setahun,
satu hari lagi panjangnya seperti sebulan dan hari seterusnya panjangnya
seperti seminggu manakala hari-hari selebihnya seperti kebiasaannya. Ada
sahabat bertanya kepada baginda S.A.W. “Wahai Rasulullah, jika begitu
perjalanan harinya, bagaimana bilangan solat lima waktu bagi hari yang
panjangnya seperti setahun? Adakah cukup jika solat lima waktu sahaja?”. Nabi
S.A.W menjawab, “Tidak cukup. Kamu mesti mengira jarak masanya.”
Sahabat
bertanya lagi, “Ya Rasulullah, bagaimanakah kecepatannya menjelajahi bumi?”
Baginda kemudiannya menjawab, “Sepantas titisan hujan yang ditiup angin yang
kencang Dajjal akan menjelajahi bumi. Tiada satu daerah pun yang tidak
dijejakinya kecuali Makkah dan Madinah kerana dua kota itu dikawal ketat oleh
para malaikat dengan pedang tajam yang terhunus.”
Kawan-kawan
sekalian, setiap negeri yang didatangi Dajjal, penduduknya bagaikan padi di
dalam pengisar. Mereka lari ke sana ke mari kerana takut akan Dajjal. Ramai
orang Islam lari ke hutan dan gunung. Seperti mana hadis yang pernah disabdakan
oleh Rasulullah S.A.W riwayat Muslim iaitu pada saat itu, manusia benar-benar
melarikan diri ke arah gunung. Sebahagian besar keluarga orang mukmin pula
lebih senang mengurung diri di dalam rumah. Dahsyatnya fitnah Dajjal
sehinggakan orang lelaki mengikat isteri, ibu, anak perempuan serta ahli
keluarga perempuannya kerana pada masa itu, kaum wanitalah yang paling banyak
menjadi pengikut Dajjal. Setiap negara yang dimasuki Dajjal, berpuluh-puluh
ribu bahkan berjuta-juta orang akan menjadi pengikut Dajjal. Sehinggakan
menurut riwayat, orang mukmin hanya tinggal 12,000 orang lelaki dan hanya 7,000
orang perempuan dari segenap dunia yang akan menjadi pengikut Imam Mahdi dan
menentang musuh-musuh Allah.
Kawan-kawan,
pada zaman Dajjal, iman diibaratkan seperti memegang bara api. Panas dan
membakar. Apabila dilepaskan dari genggaman, maka terjerumuslah kita ke dalam
fitnah Dajjal. Apabila terus digenggam utuh, godaan dan keperitannya begitu
terasa.
Antara
fitnah dan tipu daya yang dibawa oleh Dajjal ialah dia mendatangi suatu
perkampungan dan seperti kebiasaannya, dia akan menyeru kepada manusia supaya
menyembahnya dan penduduk di situ mentaatinya. Dajjal kemudiannya mengarahkan
awan supaya menurunkan hujan, mengarahkan bumi supaya mengeluarkan
tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan peliharaan penduduk di situ menjadi sihat dan
gemuk belaka.
Dajjal
kemudiannya mendatangi sebuah lagi perkampungan. Dia menyeru supaya manusia
tunduk padanya dan mengaku bahawa dirinya ialah Tuhan semesta alam. Namun
mereka menolak dan mendustakannya. Pada keesokan harinya, kawasan itu menjadi
kering-kontang, kosong dan tandus. Dajjal kemudiannya datang semula ke daerah yang
sudah seperti padang jarak padang terkukur itu lalu menyeru, “Keluarkanlah
semua harta-harta simpananmu!” Maka keluarlah semua harta-harta simpanan
penduduk kampung itu tanpa tertinggal sedikit pun lalu mengekori Dajjal seperti
lebah-lebah mengekori ratunya.
Bukan itu
sahaja, Dajjal juga boleh mengawal pergerakan matahari. Menurut riwayat hadis,
Dajjal nanti akan berkata, “Akulah Tuhan sekalian alam. Matahari bergerak atas
keizinanku. Adakah kamu bermaksud menahannya?” Setelah itu, Dajjal mengarahkan
supaya matahari berhenti bergerak dan ketika itu, hari menjadi panjang seperti
setahun ataupun sebulan. Setelah itu, Dajjal bertanya, “Adakah kamu ingin
melihat aku mengarahkannya supaya bergerak dengan lebih laju?” Jawab mereka,
“Ya, kami ingin.” Maka, Dajjal mengarahkan supaya matahari bergerak dengan
lebih laju. Hari itu terasa begitu pantas berlalu.
Antara
fitnah yang dibawa Dajjal ialah dia dapat menghidupkan orang-orang yang telah
lama mati. Hakikatnya, orang-orang yang sudah lama meninggal dunia itu
merupakan jelmaan syaitan yang diizinkan Allah untuk menyerupai ibu bapa kita.
Saya memohon maaf sekiranya hal ini agak menyinggung perasaan kawan-kawan
sekalian. Mampukah kita menahan godaan dan fitnah Dajjal seandainya insan yang
kita sayangi, insan yang kita rindu yang telah lama pergi meninggalkan dunia
yang fana ini, muncul di hadapan saudara-saudari sekalian. Wajahnya sama,
suaranya sama, sifatnya sama, senyumannya sama, pelukan yang kita dambakan
selama ini sama tanpa berbeza sedikit pun. Adakah mampu kita melawan godaan
hebat ini kawan-kawan? Kita sudah sedia maklum bahawa setiap yang bernyawa
pastinya akan mati, bukan? Jadi, kita juga tahu bahawa ibu bapa kita, keluarga
kita, sahabat-sahabat kita akan pergi jua suatu hari nanti. Satu hakikat yang
memang secara warasnya tidak dapat disangkal.
Andaikan kawan-kawan
semua ditakdirkan untuk berdepan dengan Dajjal. Ya, sudah tentu kawan-kawan
sekeluarga berdepan dengan al-Masih Dajjal. Dia menyuruh kamu semua
menyembahnya tetapi kalian sekeluarga menolak seruan itu. Pada masa itu, depan
mata kamu semua, ibu bapa kamu dibunuh oleh tentera Dajjal. Bayangkanlah,
kawan-kawan. Perkara itu berlaku di hadapan mata. Mula-mula ibu bapa kita yang
dibunuhnya. Setelah itu, adik-beradik kita yang lain pula tumbang satu-persatu
tanpa dapat diselamatkan. Kawan-kawan, betapa sayu dan sedihnya saat itu.
Begitu sukar untuk digambarkan. Dunia terasa sunyi tanpa suara ceria mereka.
Ditakdirkan untuk kamu bertemu sekali lagi al-Masih Dajjal dan
pengikut-pengikutnya dan dia berkata, “Seandainya aku menghidupkan keluargamu
kembali, adakah kau akan menyembahku dan mengakui bahawa aku adalah Tuhanmu?” Tanpa
menunggu kamu menjawab soalan itu, tiba-tiba seseorang berlari dan mendakapmu
dan kemudiannya mereka yang lain turut menerpa ke arahmu sambil tersenyum
bahagia. Ibu bapamu berkata, “Wahai anakku, ikutilah dia. Sesungguhnya, benar
dia ialah Tuhanmu.” Sahabat-sahabat seperjuangan saya semua, apakah reaksi kamu
semua ketika berdepan dengan situasi begini?
Kawan-kawan,
seluruh dunia pasti akan dilewati oleh al-Masih Dajjal kecuali Makkah dan
Madinah kerana malaikat mengawal kedua kota suci ini dengan begitu ketat
sekali. Namun, apabila Dajjal dan konco-konconya tiba di pergunungan di
pinggiran Madinah, kota Madinah bergegar sebanyak tiga kali seperti berlaku
gempa bumi. Pada waktu itu, orang-orang munafik, lelaki dan perempuan yang
terdapat di dalam kota suci itu seperti cacing kepanasan. Mereka akhirnya
keluar dari kota Madinah dan bergabung dengan Dajjal.
Saya
tertarik dengan sebuah kisah yang pernah diceritakan oleh Rasulullah S.A.W kepada
para sahabat. Baginda berkata, “Mahukah aku ceritakan kepada kamu semua tentang
kisah seorang pemuda yang mendapat pangkat syahid yang paling tinggi di dalam
syurga?” Sudah semestinya para sahabat ingin mendengar keunggulan pemuda itu
hingga dia mendapat anugerah syahid yang tertinggi di dalam syurga. Kawan-kawan
mahu mendengar kisah pemuda ini? Begini kisahnya...
Orang-orang
Islam yang berlindung di dalam kota Madinah menjadi risau apabila mereka
mendapat tahu bahawa Dajjal dan pengikut-pengikutnya kini sudah berada di luar
kota Madinah. Kegusaran itu tidak bertapak di dalam hati seorang pemuda ini.
Malahan, dia ingin ke luar Madinah untuk bertemu dengan Dajjal. Keinginannya
telah menimbulkan kerisauan di hati orang-orang di sekelilingnya kerana mereka
yakin, apabila dia keluar sahaja dari kota Madinah, pasti dia akan ditangkap
oleh pengikut-pengikut Dajjal.
Akhirnya,
pemuda itu dibawa bertemu dengan Imam Mahdi. Sebaik sahaja berhadapan dengan
ketua umat Islam itu, pemuda itu seraya berkata, “Izinkan aku untuk ke luar
kota Madinah. Aku mahu bertemu dengan Dajjal.” Imam Mahdi menjadi pelik.
Kebiasaannya, orang semakin mahu menyembunyikan diri berbanding berhadapan dengan
Dajjal tetapi tidak pula pada pemuda itu. Imam Mahdi bertanya, “Kenapa kau
bersungguh-sungguh mahu bertemu dengan Dajjal sedangkan apabila kau melepasi
garisan sempadan kota haram ini, kau pasti akan ditangkap dan diapa-apakan?”
“Kerana aku
ingin memberitahu Dajjal bahawa dia ialah al-Masih Dajjal yang pernah
diceritakan oleh Rasulullah S.A.W dahulu dan bukannya Tuhan yang satu.”
Beritahu pemuda itu bersungguh-sungguh. Melihatkan kesungguhan pemuda itu,
keazamannya sedikit pun tidak dapat dihalang. Si pemuda pun keluarlah daripada
kota Madinah.
Sebaik
sahaja dia melintasi sempadan, pemuda itu terus ditangkap dan dibawa bertemu dengan
Dajjal. Maka, apabila pemuda itu bersua muka dengan al-Masih Dajjal, Dajjal pun
bertanya, “Adakah kau mahu mengakuiku sebagai Tuhanmu?” Pemuda itu terus
berkata, “Tidak sama sekali. Kau bukan Tuhanku. Kau ialah al-Masih Dajjal yang
pernah diceritakan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W. Kau ialah Dajjal si
pendusta yang akan datang membawa fitnah yang besar! Kau bukan Tuhan! Tuhan
kami ialah Allah manakala kau ialah musuhNya!” Dengan sungguh berani, pemuda
itu berkata. Tiada sedikit pun rasa takut dan gentar berhadapan dengan Dajjal
dan pengikut-pengikutnya yang berjuta itu. Dajjal menjadi berang dan bengang.
Berani sungguh lelaki itu berkata sedemikian rupa di hadapan
pengikut-pengikutnya.
“Wahai
hamba-hambaku! Adakah kamu percaya akan apa yang dikatakan oleh lelaki ini? Dia
tidak percaya bahawa aku ialah Tuhannya. Sungguh aku boleh buktikan bahawa aku
ialah Tuhan. Aku boleh menghidupkan dan mematikan! Bukankah hanya Tuhan sahaja
yang boleh berbuat begitu?” Setelah itu, Dajjal pun menggergaji dan membelah
tubuh pemuda itu menjadi dua. Terbelahlah anggota kanan dan kirinya. Dia pun
melewati tubuh itu dengan lalu di bahagian tengah di antara keduanya bagi
membuktikan bahawa pemuda itu benar-benar sudah terbelah dua.
Pengikut-pengikutnya hanya melihat tindakan ‘Tuhan’ mereka memperlakukan pemuda
itu di atas bukit yang tinggi.
“Lihatlah!
Aku akan hidupkan semula pemuda ini! Mana ada manusia yang boleh menghidupkan
dan mematikan selain Tuhan sahaja?” Sekali lagi Dajjal menyeru pengikut-pengikutnya
dari atas bukit. Seketika kemudian, dia pun mengarahkan pemuda itu supaya hidup
semula dan kembali bernyawa. Pemuda yang tadinya dibelah dua oleh Dajjal kini
kembali seperti asalnya dan hidup seperti mana yang diarahkan oleh Dajjal.
“Sekarang,
adakah kau mempercayai bahawa aku ialah Tuhanmu?” Dengan bongkak, Dajjal pun
bertanya. Pada anggaran kawan-kawan semua, apakah yang dibalas oleh pemuda itu?
Maka, pemuda itu pun membalas. “Sesungguhnya aku menjadi bertambah yakin bahawa
kau ialah Dajjal si pendusta. Keimananku pada Allah, Tuhan yang Maha Esa
semakin kuat. Kau hanya dapat membunuhku dan menghidupkanku semula atas keizinan
Allah. Apa-apa sahaja yang kau lakukan jika Allah tidak mengizinkannya, sudah
tentu ia tidak akan berhasil.” Jawapan pemuda itu membuatkan Dajjal begitu
marah dan dia mahu membunuh pemuda itu. Namun, kali ini apabila Dajjal mahu
membunuhnya buat kali yang kedua, sedikit pun musuh Allah itu tidak dapat
menyentuhnya. Berbagai-bagai cara yang telah dilakukan Dajjal untuk membunuh
pemuda itu namun dia langsung tidak dapat menyentuhnya seakan ada sesuatu yang
menghalangnya.
Akhirnya,
pemuda itu mengangkat tangan ke langit dan berdoa, “Dengan namaMu Ya Allah, aku
hidup dan aku mati.” Dengan izin Allah, pemuda itu pun tersungkur dan mati.
Sesunnguhnya, dialah insan yang mendapat syahid yang paling tinggi darjatnya di
dalam syurga.
Sahabat-sahabat
saya sekalian, boleh saya teruskan lagi pengucapan saya? Diriwayatkan oleh Imam
Ahmad, dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Semua rasul
utusan Allah ialah bersaudara. Bapa mereka semuanya sama sedang ibu mereka
sahaja yang berlainan. Agama mereka sama dan Tuhan mereka sama. Dan akulah yang
paling rapat dengan Isa bin Maryam kerana tiada nabi di antara kami.
Sesungguhnya, pada akhir zaman nanti dia akan turun ke bumi. Untuk
mengenalinya, orangnya sedang, berkulit putih kemera-merahan dan memakai
pakaian berwarna kuning. Dia turun ke bumi dengan tangannya memegang sayap dua
malaikat. Rambutnya kelihatan seperti basah. Apabila dia tunduk, air mengalir
daripada rambutnya, membasahi bumi. Apabila kepalanya mendongak, keluarlah
untaian mutiara daripada rambutnya.”
Kawan
seperjuangan saya yang dirahmati Allah sekalian. Turunnya Nabi Isa adalah pada
waktu subuh. Itulah merupakan waktu Subuh yang terakhir buat umat Islam pada
zaman kepayahan dan kegelapan fitnah Dajjal. Menurut pengkaji-pengkaji hadis,
diriwayatkan bahawa Nabi Isa A.S akan turun di menara timur Masjid Jamek Amawi
di Damsyik.
Nabi Isa pun
memasuki masjid dan akhirnya bertemu dengan Imam Mahdi. Pada ketika itu, hati
umat Islam yang ingin mendirikan solat Subuh berjemaah terasa begitu bahagia
dan bersyukur. Maka tahulah mereka bahawa zaman Dajjal akan berakhir tidak lama
lagi. Imam Mahdi mempersilakan Nabi Isa supaya mengimami solat Subuh pada pagi
itu namun, dengan berhemah, Nabi Isa menolak dan berkata, “Sesungguhnya, iqamat
itu dibacakan untuk kamu.”
Setelah
mereka selesai mendirikan solat Subuh, Nabi Isa berkata, “Bukakanlah pintu
itu!” Sebaik sahaja pintu masjid dibuka, kelihatan Dajjal dan 70,000 orang
Yahudi yang siap bersenjata berada di luar. Kawan-kawan, sesungguhnya, 70,000
orang Yahudi itu tidaklah termasuk manusia-manusia yang terjerumus ke dalam kancah
tipu dayanya, tidak termasuk para syaitan yang turut membantu Dajjal dan tidak
termasuk bala tenteranya yang sudah ada ketika dia keluar menakluki bumi.
Nabi Isa,
tanpa mengangkat pandangannya berjalan mendekati Dajjal. Apabila tiba sahaja
dia di hadapan Dajjal, baginda pun mengangkat pandangannya. Pandangan matanya
betul-betul menatap wajah Dajjal. Dajjal terkejut tatkala mendapati bahawa
lelaki itu ialah Nabi Isa A.S. Tanpa perlu diberitahu, dia sudah tahu bahawa
ajalnya sudah begitu dekat.
Kawan-kawan,
pandangan Nabi Isa membuatkan Dajjal mencair seperti cairnya garam yang disirami
air. Melihat bentuk rupa ‘Tuhan’ mereka yang sebenar membuatkan ada dalam
kalangan mereka yang seakan baru tersedar. Dajjal tahu bahawa tiada gunanya
jika dia melawan Nabi Isa. Oleh itu, dia pun berlari ketakutan ke arah Timur.
Sebaik sahaja dia mengangkat pandangan, didapatinya bahawa Nabi Isa sudah
berada di hadapannya. Dajjal kemudiannya lintang-pukang berlari ke arah Barat.
Sekali lagi, dia mendapati bahawa Nabi Isa sudah berada di hadapannya. Selepas
itu, Dajjal pun berlari ke arah negaranya, iaitu Israel. Dia menuju ke arah
istananya, iaitu Haikal Sulaiman dan mendapati bahawa Nabi Isa sudah berdiri di
hadapan pintu Lud dengan tombak di tangannya. Kali ini, Nabi Isa tidak lagi
memberi peluang kepada Dajjal seraya tombak ditangan terus direjam dan menusuk
menepati jantung Dajjal.
Tombak itu
dicabut dan Nabi Isa A.S menunjukkan darah Dajjal yang masih mengalir di tombaknya
itu kepada seluruh manusia. Terkejut besar pengikut-pengikut Dajjal apabila
mendapati bahawa ‘Tuhan’ mereka telah mati. Maka, mereka pun berlari
lintang-pukang mahu menyelamatkan diri. Mereka berlindung dan bersembunyi di
merata-rata tempat dan dengan izin Allah, semua benda-benda termasuk batu,
dinding dan pokok akan berkata-kata. “Wahai hamba Allah! Di belakangku terdapat
musuh Allah. Bunuhlah dia!”
Rasulullah
S.A.W bersabda, “Isa bin Maryam akan memimpin umatku
dengan bijaksana dan adil. Beliau akan menghancurkan salib-salib yang ada di
dunia ini dan akan
membunuh semua babi. Beliau juga akan menghapuskan cukai. Manusia pada waktu
itu
tidak perlu membayar cukai, bahkan zakat pun tidak dibayar lagi kerana tidak
ada orang yang berhak menerimanya. Pada hari itu semua makhluk dalam keadaan
aman dan tenteram. Tiada yang saling cemburu, dengki, saling memarahi dan
mengganggu antara sesama makhluk Allah. Sehingga ada anak perempuan yang
bermain-main dengan harimau dan harimau itu
tidak menerkamnya, begitu juga kambing berkawan dengan serigala. Seluruh dunia
ketika itu nanti diliputi oleh kedamaian, keamanan dan ketenteraman. Bahkan
ketika itu nanti tidak ada pertelingkahan keyakinan dan pendapat. Tidak ada
yang disembah selain Allah. Orang Arab ketika itu nanti akan merampas kembali
semua miliknya. Bumi mengeluarkan cahayanya, menumbuhkan tanam-tanamannya
seperti zaman Nabi Adam. Sehingga manusia akan memetik buah anggur dan delima
sehingga mereka kenyang memakannya.”
Diriwayatkan
bahawa tempoh pemerintahan Nabi Isa ialah tujuh tahun. Ada yang mengatakan
bahawa 40 tahun namun ijma’ ulamak mengatakan bahawa tujuh tahun kerana Nabi
Isa turun ke bumi pada usianya 33 tahun dan dia akan wafat pada usia 40 tahun.
Semua umat muslimin akan menyembahyangkan jenazahnya dan baginda akan
dimakamkan di Madinah al-Munawwarah, berdekatan dengan makam Nabi Muhammad
S.A.W. Dikatakan bahawa makamnya ialah makam yang keempat.
Rakan-rakan
yang mendengar, pernah suatu ketika, Rasulullah S.A.W masuk ke dalam rumahnya
dan mendapati bahawa Aisyah R.A menangis teresak-esak. Rasulullah pun
mendekatinya dan bertanya, “Ya Humairaa, mengapa menangis?” Saidatina Aisyah
pun berkata, “Wahai pesuruh Allah. Sesungguhnya kau telah menceritakan tentang
Dajjal dan aku takut mendengarnya.” Rasulullah S.A.W berkata, “Jika dia datang
ketika aku masih hidup, maka aku akan melindungi kamu daripada gangguannya.
Jika dia datang ketika aku sudah tiada, maka kamu sendiri akan menjaga dirimu
dan ingatlah, Allah ada untuk melindungimu. Sesungguhnya, Tuhanmu tidak buta
dan cacat.”
Rasulullah
S.A.W juga pernah bersabda dalam khutbahnya, “Aku ialah nabi yang terakhir dan
kamu pula ialah umat yang terakhir. Tidak mustahil Dajjal akan datang pada
generasimu. Ingatlah, jika dia datang ketika aku masih berada di tengah-tengah
kamu, maka aku akan menjadi pembela bagi setiap mukmin. Aku akan menjadi
pematah hujah-hujahnya. Tetapi, jika dia datang setelah kematianku, maka setiap
orang akan melindungi dirinya masing-masing dan Allah akan menjaga orang-orang
mukmin.”
Kawan-kawan,
begitu sekali sayangnya Rasulullah S.A.W pada umatnya. Namun, kini baginda
sudah tiada lagi bersama dengan kita. Baginda sudah tiada lagi untuk menjadi
pembela umat Islam. Habis itu, bagaimana kawan-kawan?
Ya Rasulullah,
kau tinggalkan kami warisan yang abadi
dan bersaksilah
sesungguhnya kami merinduimu
Kawan-kawan,
Rasulullah meninggalkan al-Quran dan hadisnya bersama-sama kita. Dari Abu
Darda’ R.A, Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Barangsiapa yang menghafal dan
mengamalkan sepuluh ayat awal surah al-Kahfi, maka dia akan terselamat daripada
kejahatan Dajjal.” Hadis riwayat Muslim. Dari Ibnu Abbas r.a, dia berkata,
Rasulullah S.A.W mengajarkan kami doa ini sebagaimana beliau mengajarkan kami
surah dari Al-Quran (dengan bersungguh-sungguh kerana pentingnya perkara ini),
iaitu; "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari siksa Jahannam, dan aku
berlindung kepada-Mu dari siksa kubur. Aku berlindung kepada-Mu dari fitnah Al
Masih Ad Dajjal dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah kematian dan
kehidupan." Hadis riwayat Ibnu Majah.
Oleh itu,
bersama-samalah kita menjadikannya sebagai amalan seperti yang telah termaktub
dalam hadis-hadis sahih ini. Kita perlu sentiasa berdoa agar kita sekeluarga
dilindungi daripada fitnah Dajjal kerana pada ketika itu, boleh jadi pada siang
hari dia seorang Muslim yang warak dan mentaati Allah dan pada malam hari dia
telah menjadi pengikut Dajjal.
Sekian
sahaja daripada saya, Nurul Ain Zakiah binti Yaccob. Maaf jika ada tersilap
kata atau mempunyai kekurangan. Sesungguhnya, Allah lebih mengetahui. Sekian,
terima kasih.
Labels: Karangan