CONTOH KARANGAN SPM - PERANAN IBU BAPA MEMUPUK AMALAN MENABUNG (BERJIMAT CERMAT)
Wednesday, 6 January 2016 | 2 comments
Tugas Melahirkan Generasi Menabung
Mendepani era milenium yang pantas bergerak dan berubah, masyarakat yang progresif, dinamik dan madani amat diperlukan demi menanggar amanat warisan yang digalas zaman-berzaman untuk menjadikan ibu pertiwi dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan gergasi persada yang lain. Namun, merentasi zaman teknologi bermaklumat kini, ke manakah hilangnya generasi digeruni yang disebut-sebut itu? Segelintir manusia pada masa ini masih berfikiran jumud seperti katak di bawah tempurung seakan-akan tidak berasa hangat ambang 2020. Mereka masih tidak berdisiplin, suka membazir dan terlalu mengikut rentak Barat yang penuh dengan gejala hedonisme. Antara ciri generasi yang diidami segenap masyarakat ialah generasi yang berdisiplin tinggi dan generasi yang berjimat cermat. Generasi kelas pertama seperti inilah yang dimahukan untuk mengambil alih cerucuk kepimpinan negara dan tidak sewenang-wenangnya menghabiskan sumber semula jadi yang tidak dapat digantikan semula secara membabi buta. Akar sikap ini datangnya daripada amalan menabung yang dipupuk sedari kecil lagi. Persoalannya kini, peribahasa Melayu ada berkalam, melentur buluh biarlah dari rebungnya, justeru apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan amalan ini dalam kalangan anak-anak?
Ibu bapa merupakan tunjang utama dalam pembentukan generasi era IT kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tegal itu, peranan ibu bapa yang merupakan suri teladan bagi anak-anak muda zaman kini amat penting dan tidak boleh dianggap sebagai perkara yang remeh. Tidak akan lahirnya seorang Perdana Menteri andai tiada insan bergelar ibu dan ayah. Tidak akan jatuhnya Kota Konstantinopel ke dalam genggaman Islam andai tidak wujudnya ibu dan bapa kepada seorang insan yang bernama Muhammad Al-Fateh. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa berperanan mendidik anak-anak sedari mereka masih kecil untuk menjadi seorang insan yang berjimat cermat dan berdikari. Mengapa? Hal ini demikian kerana, tatkala rebung tiada dipatah, ketika sudah aur apalah gunanya jelas menunjukkan bahawa jika kamu mahu membentuk seseorang, bentuklah sahsiahnya sedari kecil kerana apabila darah remajanya sudah mula panas, apa-apa yang dipesan sudah tidak berguna lagi jika baru mahu membentuk sahsiahnya. Kita boleh merenungkan tamsilan yang paling hampir, iaitu cara rakyat negara Jepun mendidik anaknya. Sedari kecil, duit perbelanjaan mereka diberi secara total penuh pada awal bulan ataupun pada akhir bulan berdasarkan ketetapan masing-masing. Ibu bapa akan berpesan dan bertegas dengan duit perbelanjaan bulanan anak-anak mereka pada setiap bulan. Mereka tidak kisah jika si anak mahu menggunakan duit itu untuk kegunaan apa-apa sahaja kerana sesuatu yang pasti, apabila duit itu habis, mereka tidak akan memberi lagi duit belanja tambahan sehinggalah bulan berikutnya menjengah tiba. Impaknya, generasi muda di Jepun secara tidak langsung akan berjimat cermat dalam perbelanjaan mereka dan mereka juga tidak berani untuk melakukan sebarang kesalahan kerana khuatir duit perbelanjaan bulanan akan ditolak. Melalui konsep ini, anak-anak akan lebih terdidik dengan kehidupan yang berorientasikan amalan berjimat cermat, berdikari dan berdisiplin. Tuntasnya, seperti yang pernah dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia, iaitu Dasar Pandang ke Timur, kita patut mencerminkan sahsiah rakyat negara maju seperti negara Matahari Terbit jika kita turut ingin maju.
Insan yang paling rapat dan paling memahami gelora hati anak-anak ialah ibu bapa. Bukan kawan-kawannya, guru-gurunya malah sesiapa sahaja. Hal ini adalah kerana terdapat pertalian darah, hati dan naluri. Tegal itu, apa-apa sahaja yang dilakukan oleh anak-anak, dalam masa yang sama dia memerlukan perhatian dan galakan daripada kedua-dua insan yang disayanginya, yang memang tidak akan ada orang lain yang mampu menggantikan tempat itu di dalam hatinya. Kesinambungan dengan isi kedua, iaitu ibu bapa perlu menyokong dan memberi galakan kepada anak-anak dalam meniti perubahan menjadi seseorang yang lebih baik dan berjimat cermat. Ibu bapa bukan sekadar hanya merancang dan mengimpikan untuk mendapat anak yang sehebat Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat abginda atau sesiapa sahaja yang hebat sahsiahnya kerana tiada jalan pintas untuk berjaya. Berilah sokongan moral dan sediakanlah prasarana untuk anak-anak membudayakan amalan menabung. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membelikan sebuah tabung yang cantik sebagai pembakar semangat untuk anak-anak mengamalkan budaya menabung. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu menyediakan sebuah buku perancangan kewangan dan jika mahu ia nampak lebih istimewa, tidak salah untuk kita sendiri yang membuat dan menghias buku itu kerana buatan kilang memang terdapat banyak di pasaran tetapi buatan tangan yang khas hanya terdapat satu di dalam dunia. Kesannya, anak-anak akan lebih bersemangat untuk menabung dan menjadi insan yang suka berjimat cermat. Hal ini kerana, insan yang berjimat cermat merupakan insan yang berfikiran matang ketika membuat keputusan. Konklusinya, jika budaya ini terus digarap dan setiap watak yang bermain di pentas dunia ini memainkan peranannya, nescaya Wawasan 2020 bukanlah sesuatu yang mustahil bagai pungguk yang rindukan bulan.
"Lampu ajaib Aladdin tidak akan bersinar sendiri tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu," memetik kata mutiara daripada Alex Osborn yang jelas menyatakan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana jika tidak disusuli dengan usaha sepahit hempedu. Jelaslah di sini bahawa untuk menggenggam sebuah kejayaan memerlukan usaha dan bukannya sekadar duduk bergoyang kaki menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin. Mengapa? Hal ini demikian kerana, tidak cukup sekadar ibu bapa hanya menyuruh anak-anak untuk berjimat cermat tetapi diri mereka sendiri tidak cuba untuk berubah dan masih menangguk di takuk yang lama. Oleh itu, bagi memantapkan pelan usaha yang telah dirangka dan dilaksanakan, ibu bapa yang merupakan jentera penggerak anak-anak perlu bertindak terlebih dahulu dalam usaha untuk menjadi seorang pengguna yang bijak kerana kita perlu ingat bahawa bagaiman acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa perlu mengamalkan amalan pengguna bijak ketika berbelanja. Jika ingin membeli sesuatu, jangan bertindak terburu-buru dalam membuat keputusan. Cuba berfikir dengan matang dan rasional. Apabila anak-anak melihat ibu bapa mereka membudayakan amalan pengguna bijak, maka peratus untuk mereka meniru tindakan itu adalah tinggi. Secara tidak langsung, anak-anak akan terbiasa dengan amalan sihat ini dan boleh mempengaruhi kawan-kawannya untuk menjadi pengguna bijak. Tegal itu, amalan berjimat cermat dan pengguna bijak yang saling bergantungan antara satu sama lain akan dapat diterapkan dalam kalangan generasi muda hari ini hanya dengan interaksi dan pembelajaran tidak formal antara ibu bapa dan anak yang menjadi titik pemula. Tegasnya, ibu bapa memang memainkan peranan penting dalam memupuk amalan menabung dan berjimat cermat dalam kalangan generasi yang baru sahaja berusia setahun jagung dan masih jahil dengan corak arus dunia ini.
Sebagai penggulung bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu bapa merupakan nadi nyawa bagi kelahiran sebuah generasi yang mendukung panji sahsiah terpuji didikan junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu, semua pihak diseru agar turut sama menggembleng tenaga dalam menggalas cita-cita Malaysia maju tahun 2020. Kita perlulah berusaha dengan semangat habis kapak berganti beliung agar impian untuk melihat generasi kelas pertama dengan berfikiran glokal tidak terbantut begitu sahaja. Memetik mutiara kata Presiden Indonesia yang pertama, Soekarno, "Berikan aku sepuluh orang pemuda, akan kugoncang dunia ini." Begitu juga Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah belia-belianya kini.
KARYA ASLI OLEH : NURUL AIN ZAKIAH BINTI YACCOB
#PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN TING. 5 2015
#ULASAN GURU : CEMERLANG, TAHNIAH!
#MARKAH : 84 .. Sebab masa tu saya tulis 'berjimat-cermat'. Sedangkan, yang sebenarnya ialah 'berjimat cermat'. Bayangkan ajelah betapa banyaknya perkataan 'berjimat cermat' dekat dalam karangan ni. T~T
Labels: Karangan





