bio list cbox entry




CONTOH KARANGAN SPM BAHAGIAN B - ISU PEMERDAGANGAN MANUSIA
Wednesday, 13 January 2016 | 0 comments



KES PEMERDAGANGAN MANUSIA MENJADI DURI DALAM DAGING

     Pemerdagangan manusia merupakan antara isu terhangat yang menjadi topik bualan rakyat di setiap empat penjuru negara kita. Setiap zaman yang bergulir, bahtera Malaysia yang turut sama merantau di samudera dunia langsung tidak terlepas berdepan dengan cabaran-cabaran yang mendatang. Namun, semakin dekat kita dengan gerbang kemajuan 2020, ombak cabaran yang membadai semakin deras dan mengganas. Baru-baru ini, kita digemparkan dengan isu panas 'Van Putih' yang dikatakan sindiket haram yang datang dari Thailand menculik golongan muda remaja khususnya untuk menjual organ dalaman mangsa. Sudah tentu masih lagi segar dalam ingatan kita berikutan kes Nurin Jazlin, kanak-kanak yang mati dalam keadaan yang sangat menyayat hati kerana tangan-tangan durjana yang merupakan gunting makan di hujung terhadap bangsanya sendiri. Ke mana hilangnya ketamadunan dan keindahan peradaban bangsa Melayu yang menjadi kebanggaan sejak zaman-berzaman? Ke mana pula perginya generasi progresif dan madani serta bersahsiah terpuji yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara? Sebagai insan yang cakna akan hal-hal yang meluputkan nama negara di pentas dunia, kita seyogianya bangkit bersama-sama menanggar amanat pejuang bangsa dan tidak seharusnya membutakan mata, memekakkan telinga dan membisukan kata. Tegal itu, semua lapisan masyarakat perlu digarap dan dikerah agar bersama-sama membanteras masalah pemerdagangan manusia.

     Sudah semestinya pihak institusi kekeluargaan memainkan peranan vital dalam membanteras masalah pemerdagangan manusia. Hal ini berlaku demikian kerana, pencegahan yang paling berkesan adalah sewaktu peringkat rebung lagi kerana tatkala rebung tiada dipatah, ketika sudah aur apalah gunanya. Ibu bapa yang merupakan nakhoda kapal keluarga perlu mengambil tahu aktiviti anak-anak daripada pelbagai aspek. Pada zaman teknologi melampaui batas pemikiran manusia ini, kita tidak boleh beranggapan bahawa si anak tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti selagi si anak hanya duduk di dalam rumah dan melayari Internet. Ibu bapa perlu menjaga tepi kain anaknya kerana walaupun anak mereka tidak bergaul dengan golongan remaja yang tidak sepatutnya, tetapi boleh jadi anak tersebut terlibat dengan aktiviti jenayah siber yang boleh mengundangnya untuk terjerumus ke dalam kancah masalah pemerdagangan manusia. Anak-anak merupakan harta kita yang paling bernilai dan tidak terbayar hatta dihulur segunung emas dan mutiara sekalipun. Ibu bapa dan anak mempunyai hubungan hati yang kuat antara satu sama lain. Oleh itu, gunakanlah kelebihan ini untuk membuat pendekatan secara individu dengan anak-anak. Meskipun pada usia yang baru setampuk jagung ini, remaja lebih cenderung untuk bergaul mesra dengan kawan-kawan berbanding ibu bapa, janganlah terus menongkat dagu dan mengeluh tanda berputus asa kerana berpantang mati sebelum ajal. Gunakan pendekatan yang bijak dan menarik agar dapat memancing perhatian anak-anak sekali gus mereka lebih cenderung untuk menjadikan ibu bapa sebagai tempat mereka menumpang bahu apabila berduka dan tempat mereka berpeluk tatkala gembira. Bertitik tolak daripada itu, kes remaja lari dari rumah juga dapat dikurangkan. Tegal itu, kes pemerdagangan manusia juga akan semakin sirna jika kurangnya remaja yang menerawang bersendirian di tengah kota untuk mencari tempat berteduh kerana lari dari rumah. Tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam hal ini kerana ibu bapa merupakan asas pembangunan ummah.

     Pihak sekolah turut memainkan peranan utama dalam mewarnakan usaha-usaha menentang masalah pemerdagangan manusia. Seperti yang kita sudah sedia maklum bahawa pihak sekolah merupakan antara pihak yang mentarbiahkan para remaja pewaris bangsa dalam variasi aspek. Puspawarna tanggungjawab yang dijalankan oleh pihak sekolah sedikit sebanyak telah mempengaruhi peratus kenaikan dan penurunan isu gejala sosial dalam kalangan remaja di negara kita. Apakah hubung kait antara masalah pemerdagangan manusia dengan pihak sekolah? Sebagai insan yang kamil, kita telah diberikan akal untuk merenung dan membuat kajian tentang sesuatu. Mangsa-mangsa kes pemerdagangan manusia kebiasaannya ialah remaja. Tegal itu, pihak sekolah perlu menerapkan jati diri dalam kalangan murid. Bukan itu sahaja, nilai-nilai murni dan integriti yang baik seharusnya dibenihkan dalam diri murid-murid. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan murid-murid menyayangi ibu bapa mereka, keluarga dan paling utama adalah diri mereka sendiri. Mereka juga akan lebih berwaspada terhadap orang yang tidak dikenali kerana di sekolah, mereka telah diberi pendedahan tentang perkara tersebut. Di samping itu, pihak sekolah boleh mengadakan pelbagai aktiviti bagi membanteras kes pemerdagangan manusia seperti membuat demonstrasi tentang cara-cara melarikan diri dan mengelak apabila berlaku insiden-insiden yang tidak sepatutnya seperti penculikan. Murid-murid juga perlu diwajibkan mengikuti ceramah perdana daripada pihak polis tentang masalah pemerdagangan manusia.. Apabila hal ini berlaku, kadar kes penculikan, pelacuran, penjualan organ dalaman dan sebagainya akan berkurang kerana para murid telah diberi pendedahan secara meluas tentang isu ini. Kesimpulannya, bukan sahaja kes pemerdagangan manusia akan dapat diatasi malahan kita juga dapat melahirkan generasi yang mempunyai jati diri yang tinggi. Pujangga Melayu ada berkalam, sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terdampar.

     Pada zaman nano ini, pihak media massa tidak terlepas daripada menjadi enjin penggerak jentera negara. Rakyat yang lahir pada zaman pascakemerdekaan lebih cenderung untuk mengikuti berita-berita bualan semasa menerusi televisyen, surat khabar dan juga Internet. Oleh itu, pihak media massa perlu untuk turut sama membanteras isu hangat ini. Pihak media massa boleh membuat segmen khas tentang kes pemerdagangan manusia sebagai tanda bahawa  peri pentingnya rakyat untuk mengetahui hal ini. Kes pemerdagangan manusia seperti menjual bayi, menjual organ dalaman, pelacuran dan dijadikan pengemis merupakan duri dalam daging yang boleh meruntuhkan peradaban negara. Sindiket-sindiket gelap tersebut lebih suka untuk memperdagangkan golongan remaja yang merupakan pemangku kepimpinan negara. Apabila ramai remaja kita yang terlibat dalam masalah ini, apakah yang akan terjadi pada masa hadapan negara? Seperti kata mutiara Imam al-Ghazali, jika kita mahu mengetahui masa hadapan sesebuah negara, lihatlah belianya pada masa ini. Sudah tentu kita tidak mahu impian Wawasan 2020 ranap ditimbusi kemelut masalah pemerdagangan manusia ini. Tegal itu, jika kita sudah tahu akan pentingnya isu ini untuk dikupas oleh orang bijak pandai negara, tidak salah untuk pihak media massa meluangkan suatu masa untuk membincangkan topik ini agar membuka minda orang ramai dari segenap lapisan masyarakat untuk bersiap siaga. Pihak media massa juga boleh membuat pendedahan tentang sindiket-sindiket haram yang merupakan punca banyaknya pengemis bertaburan di strata pelosok ibu kota. Pendedahan sindiket-sindiket ini bertujuan untuk mengelakkan kebanjiran pengemis di negara kita. Jika kita mahu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan gergasi-gergasi ekonomi dunia yang lain seperti Jepun, Amerika Syarikat, England dan sebagainya, kita seyogianya tidak akan membiarkan hal ini terus berkudis di negara kita. Jelaslah bahawa pihak media massa tidak ketinggalan sama bergerak sederap dalam membasmi isu pemerdagangan manusia yang berlaku di negara kita. Jika kita mahu melahirkan generasi hebat, kita perlu bertindak sekarang kerana bak kata Alex Osborn, "Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu."

     Sebagai menggulung hujah yang panjang lebar, jelaslah bahawa institusi kekeluargaan, pendidikan serta pihak media massa memainkan peranan penting dalam membasmi kebangkitan isu pemerdagangan manusia. Hal ini tidak bermaksud golongan dan pihak lain tidak perlu ikut serta menentang aktiviti tidak berperikemanusiaan ini. Memegang cogan kata '1 Malaysia' merupakan petanda penting perpaduan begitu diperlukan dalam menjayakan sesebuah misi dan visi kerana bersatu teguh, bercerai roboh. Bahtera Malaysia diharapkan dapat terus megah mengharungi pelbagai onak ranjau kehidupan duniawi. Kita perlulah menebalkan segala ilmu pengetahuan di dada agar dapat meneruskan perjalanan hidup yang berliku. Semua lapisan masyarakat diseru agar bersama-sama menggembleng tenaga membanteras masalah pemerdagangan manusia yang kian menular dalam kalangan masyarakat di negara kita. Akhir sekali, diharapkan masalah ini dapat dicegah pada peringkat rebungnya sebelum cacing naik ke mata supaya kita dapat mencapai cita-cita agung mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, iaitu Wawasan 2020.

#OLEH : NURUL AIN ZAKIAH BINTI YACCOB

IKUTI NOVEL-NOVEL DAN CONTOH KARANGAN DAN CONTOH ESSEI YANG LAIN.  =)
KBYE~  

Labels: ,