bio list cbox entry




CLUMSY GIRL FOR ME - PROLOG
Thursday, 14 January 2016 | 0 comments






PROLOG

OGOS 2014

HEY, Alien! Kenapa kau wujud dekat sini? Tempat yang aman damai ni memang tak layak untuk kau. Negara kau kan tak pernah aman. Pergilah balik sana, sedara-mara kau kat sana bersusah-payah, kau dekat sini senang-lenang. Banyak cantik muka kau!” Kepala itu ditujah beberapa kali menggunakan jari telunjuk. Terdengar sayup-sayup suara orang ketawa sinis. Penghinaan yang cukup menyakitkan.
“Dahlah menyemak aje dekat sini, ada hati pulak dengan Fateh.” Sambung salah seorang daripada mereka cuba memanaskan suasana. Siapa pulak si Fateh tu? Hatinya berdesis lemah. Pipinya terasa dicengkam lalu kepala didongakkan dengan kasar.
“Sebab kau wujud kat sinilah, habis hancur reputasi aku, kau tahu tak?”
“Jangan nak perasan yang kau tu cantik sangatlah, perempuan! Setakat mata macam tu, anjing dekat depan rumah aku pun matanya macam tu jugak!” Terasa begitu terhina. Matanya mula berkaca. Telinganya sudah tidak tertahan mendengar segala tohmahan yang menghiris sekeping hati miliknya. Hatinya terus-terusan berdoa agar ALLAH menghantarkan bantuan padanya.
Humayraa, sabar. Sabar itu memang perit tapi hasilnya maha indah. Dia membisikkan kata-kata semangat untuk diri sendiri.
“Apahal bising-bising ni?” Dalam kesedihan yang menyelubungi hatinya, dia sempat mengukirkan senyuman nipis tatkala terasa ada seseorang yang datang membantunya. Cengkaman di pipi terlepas sekali gus membuatkannya jatuh terduduk.
“Pengawas, pengawas,” bisik pelajar-pelajar perempuan bertudung pendek itu.
Malang sekali mereka tidak sempat melarikan diri kerana telah dikepung terlebih dahulu oleh beberapa orang pengawas perempuan yang menjalankan serbuan. Kawasan belakang sekolah kini telah dipenuhi dengan pengawas perempuan yang memakai uniform sekolah berwarna biru serta berkot biru gelap.
Humayraa hanya tertunduk memandang lantai. Hatinya terasa kosong. Dia langsung tidak berminat untuk melihat pelajar-pelajar yang membulinya seketika tadi ditahan oleh para pengawas dan akan dimasukkan ke dalam kelas tahanan selama seminggu di mana kelas tersebut dikawal ketat oleh guru disiplin sekolah.
Ini merupakan minggu pertamanya di sekolah baru dan dia masih gagal untuk mendapatkan walau seorang pun kawan. Hatta di dalam kelas sekalipun, tiada sesiapa yang mahu menegurnya dan yang agak malang, dia duduk berseorangan di dalam kelas memandangkan jumlah pelajar menjadi ganjil apabila ditambah dengan kewujudannya. Dia langsung tidak mengenali sesiapa pun di sekolah ini dan tiba-tiba sahaja ada orang menuduhnya meminati Fateh yang dia sendiri pun tidak tahu siapa. Kalau Fateh Seferagic, mungkinlah dia kenal.
“Awak okey?” teguran itu mematikan lamunannya. Humayraa mengangkat pandangannya. Gadis yang ayu tersenyum itu kelihatan sedikit terkejut melihat wajah Humayraa.
“Subhanallah...” perkataan itu terpacul keluar dengan sendirinya.
“Assalamualaikum,” Humayraa tersenyum kelat sambil suaranya kedengaran agak tersekat. Ternyata impak insiden sebentar tadi begitu membuatkan jiwanya bergolak.
“Waalaikumusssalam,” gadis itu menjawab salam tersebut dengan sedikit teragak-agak. Senyumannya berbalas.
Nice to meet you. I’m Syarha Annisyha. You can call me Nisyha. Are you a transfer student?” Gadis itu mula berbahasa Inggeris. Humayraa sekadar tersenyum nipis. Geli hati melihat reaksi gadis pengawas itu. Nisyha membantu Humayraa untuk bangun. Kala ini, cuma tinggal mereka berdua sahaja di kawasan itu. Semua pengawas yang bertugas serta beberapa pembuli itu sudah dibawa pergi berjumpa dengan guru disiplin.
“Humayraa. Humayraa Nur Syahlaa’. I’m not a foreigner. Being here since I’m just only 2 months.” Senyuman semakin dimaniskan. Nisyha terkedu.
“Oh?”
“Budak baru ke? Macam sebelum ni tak pernah nampak pun,” Humayraa mengangguk sebagai menjawab soalan gadis pengawas itu.
“Baru pindah,”
“Dari mana? Tingkatan berapa?” Sekali lagi, Annisyha bertanya ramah.
“Empat. 4 Sains. Dari Kuala Lumpur.” Balas Humayraa tanpa berselindung sedikit pun. Hatinya terasa terhibur melayani pengawas yang bernama Syarha Annisyha itu walaupun mereka baru sahaja berkenalan tidak sampai lima minit yang lalu.
“Oh, kita sebaya cuma tak sama aliran. Maybe we should be friend.” Nisyha tersenyum manis menampakkan lesung pipit di pipi kirinya.
I’m so glad to be your friend, Nisyha.” Humayraa tersenyum manis seraya kedua belah matanya menjadi sedikit kecil. Panahan cahaya matahari sedikit memerahkan kulitnya yang putih melepak.
By the way, awak dari KL, budak bandar. Kenapa pindah ke sekolah luar bandar ni?” Nisyha bertanya ingin tahu. Matanya tidak lepas daripada memandang wajah Humayraa. Sungguh, dia begitu tertarik melihat wajah pelajar baharu itu.
“Aha, sekolah ni tak adalah luar bandar sangat. Ini kan sekolah dalam taman perumahan, Nisyha. Nak pergi ke pusat bandar pun cuma ambil masa 30 minit aje. Awak cakap macam sekolah ni low-class sangat. Saya pindah ke sini sebab ayah saya baru meninggal. Ibu dapat kerja dekat sini. Jadi, ibu dengan saya berpindah ke sini.” Jawab Humayraa tulus sambil tersenyum nipis.
“Oh, maafkan saya.” Nisyha mengerling jam tangan besi berwarna silver yang terletak kemas di pergelangan tangan kanannya. Humayraa turut melakukan perkara yang sama.
“Nampaknya, waktu rehat dah nak tamat. Saya kena balik kelas dulu. Mayraa, kalau ada apa-apa masalah, jangan segan-segan nak cari saya. I’m the vice president at the student council a.k.a prefect.” Gadis itu tersenyum manis sambil menapak meninggalkan Humayraa keseorangan.
Nice to meet you, new friends.” ujarnya di kejauhan.

FATEH! Apa yang kau tengah baca tu?” Lelaki kacukan Belanda itu segera menyimpan helaian kertas yang sedari tadi dalam pegangannya. Dadanya diurut perlahan cuba meredakan rasa terkejut dek disapa secara tiba-tiba. Matanya dikecilkan sedikit memandang gadis yang baru melangkah masuk ke dalam bilik pengawas itu.
            “Nisyha, molek betul cara kau bagi salam, ye? Nasib baik aku tak ada sakit jantung.” Ngomel lelaki itu sendirian di hujung ayatnya. Nisyha hanya membuat muka selamba sambil terus menapak masuk ke dalam bilik itu. Dia mula duduk di mejanya yang tertulis ‘Naib Presiden’. Gadis itu mengemas sedikit mejanya yang dipenuhi dengan helaian kertas dan fail-fail.
Walaupun mereka masih berada dalam tingkatan empat, namun jawatankuasa tertinggi dalam organisasi pengawas sekolah telah dijawat mereka. Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar tingkatan lima yang menjawat jawatankuasa tertinggi sebelum ini sedang fokus untuk menghadapi peperiksaan SPM yang tidak lama lagi bakal menjelma.
By the way, why must student council, president and vice-president? Bukan ke dekat sekolah di Malaysia, kita panggil pengawas, ketua pengawas dan penolong ketua pengawas? Aha, ini disebabkan pengaruh anime yang Nisyha minat sangat. So, dia pun berangan nak macam ala-ala Jepun, dia tukar segalanya. Fateh? Malas nak cakap apa-apa.
“Fateh, want to know something amazing?” Nisyha cuba memancing perhatian. Lelaki itu sekadar menjongketkan keningnya sambil matanya masih lagi fokus memandang beberapa helai kertas di atas mejanya.
“Hmm...?”
“Kita ada foreigner mat salleh yang baru pindah ke sini. A girl.” Ucap Nisyha penuh teruja walaupun hakikatnya, Humayraa telah menjelaskan bahawa dirinya bukanlah orang asing. Fateh mengangkat pandangan, mencari kepastian daripada raut wajah Syarha Annisyha.
Are you sure?” Tanya Fateh keraguan. Nisyha mengangguk laju. Excited.
“Betul la. Tapi, dia kata dia bukannya foreigner sebab dia dah duduk dekat Malaysia sejak berusia dua bulan. Tapi, sesiapa sahaja yang tengok muka dia, confirm akan fikir dia tu foreigner punyalah. Termasuk kau,” jelas gadis itu sambil menongkat dagunya.
“Muka dia macam mat salleh sangat ke?” Fateh mula tertarik dengan apa yang disampaikan oleh naib presidennya.
“Sekejap, takkan kau tak pernah tengok muka dia? Dia kan satu kelas dengan kau?” Soalan dibalas dengan soalan.
Muka lelaki itu kelihatan sedikit terkejut sebelum bibirnya mencebik kecil. “Kau mesti lupa, kan? Aku baru aje naik sekolah hari ni. Itu pun still tak masuk-masuk kelas lagi sebab masih ada hal yang nak kena settlekan. Sebelum ni kan aku pergi kursus kepimpinan tiga hari dekat Kelantan. Mana la aku nak tahu yang ada budak baru minggu ni,” Fateh kembali mengingatkan Nisyha tentang kesibukan dirinya belakangan ini.
Nisyha tersengih kambing. Tangannya menggosok belakang kepala.
“Kau tahu, banyak gila awek cun masa dekat kursus kepimpinan tu. Aku baru aje minta nama, dia dah kasi siap dengan nombor telefon lagi,” Fateh tergelak kecil mengingatkan kisahnya di Kelantan selama tiga hari. Geli hati mengenangkan perangai gadis-gadis lain yang ditemuinya. Nisyha mencebik.
“Eleh, perasan gila kau ni! Tak apa, kita tengok. Budak baru yang kali ni, aku jamin, kau yang akan melting dengan dia nanti. Aku jamin, Fateh,” ucap Nisyha sambil mengangkat jari telunjuknya, mengingatkan. Senyuman lelaki kacukan Belanda itu mati serta-merta.
“Eh, suka hati aje kau nak cakap macam tu. Eleh, setakat foreigner kau tu, ingat aku nak melt sangat. Paling-paling dia pun sama aje, typical speseis macam yang lain,” Fateh tersenyum sinis. Kalau dah namanya perempuan tu, perempuan jugak!
“Okey, we will see, Fateh. Kau kena belanja aku kali ni kalau aku betul.” Beritahu Nisyha sambil tangannya mula menulis sesuatu di dalam buku catatan.
“Alah, Nisyha oi. Kau sibuk sangat dengan foreigner kau tu, kau tak sedar ke muka aku yang handsome macam mat salleh ni? Aku pun macam foreigner jugak okey. Half foreigner. My mom was from Netherland. Kau tak tertarik ke dengan aku ni?”
“Ahh, muka kau macam abang bangla jual karpet ada la. Pigida!”
Fateh hanya tersenyum.

HUMAYRAA masih lagi tekun menyiapkan kerjanya walaupun keadaan di dalam kelas sudah semakin sunyi kerana ramai pelajar sudah pulang ke rumah masing-masing. Humayraa menulis nota-nota pelajaran tanpa seulas senyuman yang terlakar di bibir nipisnya. Gadis itu hanya tunduk tidak mengangkat pandangan. Fokusnya hanya pada kertas yang berbagai warna itu.
            Tidak semena-mena, air matanya mula mengalir perlahan menuruni pipinya yang kemerah-merahan. Tatkala mutiara hangat itu jatuh pada kertas notanya, Humayraa seakan tersedar bahawa air matanya sudah menitis. Pantas sahaja tangannya menyeka air mata yang seakan tidak mahu berhenti itu. Mukanya terasa panas. Untung sahaja, kala ini sudah tiada sesiapa lagi di dalam kelas itu melainkan hanya dia seorang.
            “Humayraa, sabar. Sabar. Humayraa Nur Syahlaa, kau tak layak untuk terasa hati dengan apa yang diorang buat. Kau tak layak untuk terasa,” dalam sebak, dia berbisik sendirian. Walaupun hakikatnya dia begitu sedih dengan kisah hidupnya hari ini, entahkan siapa, dia pun tidak tahu, telah mengoyakkan muka hadapan tiga buah buku teksnya. Humayraa menggeleng perlahan. Dia tidak faham, langsung tidak faham mengapa dia harus menghadapi semua ini tanpa sedikit pun dia tahu apakah kesalahan yang telah dia lakukan.
            Take this and wipe your precious tears,” ujar seseorang sambil menghulurkan sehelai sapu tangan berwarna ungu gelap.
            Tatkala telinganya menangkap suara seorang lelaki, Humayraa segera mengesat air matanya menggunakan lengan baju uniform lalu mengangkat pandangan. Matanya yang berkaca itu memandang seraut wajah yang serasanya tidak pernah dilihat sebelum ini. Seorang lelaki berkulit putih dan berbaju pengawas kini berdiri betul-betul di hadapan mejanya.
            Humayraa hanya diam tidak menyambut huluran itu. Tanpa sebutir bicara, dia kembali menyambung kerjanya yang tertangguh tadi. Kehadiran lelaki itu langsung tidak dihiraukan.
            Senyuman manis yang terukir di bibir Fateh menjadi kelat. Dia berasa tercabar diperlakukan begitu. Belum pernah ada gadis yang menolaknya sebelum ini. Fateh mengetap bibir sebelum dia kembali melakarkan senyuman leret.
            “Saya Fateh Iman,” Gadis itu mengangkat pandangannya serta-merta. Fateh?
            “Awak ni ke Fateh yang diorang selalu cakap tu?” tanya Humayraa senada.
            Fateh cuba menyembunyikan senyumannya. Terasa bangga tatkala Humayraa bercakap sebegitu. “Mungkin, sebab dekat sekolah ni cuma ada seorang sahaja Fateh. Itu pun kalau tak silap saya,” Dengan bangga, lelaki itu menjawab.
            Pantas sahaja Humayraa bangkit dari duduknya. Matanya mencerlung tajam memandang ke dalam anak mata Fateh yang berwarna coklat hazel itu. Sedikit pun tiada sebaris senyuman yang terukir di bibirnya. Tegang sahaja riak wajahnya.
            “Pergi dari hidup saya. It just your name and that is why my life becoming ruin!” Tanpa menunggu sebarang balasan kata daripada pengawas lelaki itu, Humayraa mula mengemas barang-barangnya. Fateh terkebil-kebil seketika mendengar ujaran gadis itu.
            “Sekejap. Kenapa dengan awak ni? Apa-apa yang awak cakapkan, saya langsung tak faham. Ini pun saya baru pertama kali jumpa awak,” Fateh masih lagi tidak mahu mengalah walau hakikatnya Humayraa betul-betul tidak mengendahkannya.
            “Dan saya pun baru kenal, awaklah Fateh tu,” sempat lagi gadis itu memberi jelingan tajam. Humayraa mula melangkah keluar daripada kelas.
Hey, Arabic girl!” Langkah laju gadis itu terhenti serta-merta. Humayraa membatu tidak memberi respon juga tidak berpaling memandang ke arah Fateh yang kian menghampiri.
Hey, what’s wrong with you? What’s wrong with my name? Does it hurt you that much? I’m sorry,” lelaki itu bingung melihatkan Humayraa yang sudah mengalirkan air mata.
Humayraa pantas menyeka air matanya lalu memaksa dirinya untuk tersenyum meskipun kelihatan begitu kelat sekali. Dia menarik nafas sedalam mungkin dan kemudiannya menghembuskannya perlahan-lahan. Humayraa Nur Syahlaa, jangan sedih. Sabar. Jangan terasa. Kau tak layak untuk terasa, Humayraa. Bisik hati kecilnya. Wajahnya terasa hangat. Sabar, jangan lemah sangat. Entahkan kenapa, dia terasa begitu lemah sekali.
“Tak adalah. Maafkan saya pasal tadi. Saya okey,” Matanya yang berkaca mula memandang wajah Fateh. Senyuman paksa dileretkan. Lelaki kacukan Belanda itu sedikit berkerut melihatkan perubahan emosi Humayraa yang drastik.
“Serius awak okey?” Terjongket kening kanannya. Terselit nada risau dan ragu dalam tutur katanya. Mata Fateh tidak lepas menatap wajah bersih gadis itu.
 Humayraa mengangguk laju dengan riak wajah yang bersungguh-sungguh. Senyuman yang tadinya nampak kelat kini kelihatan manis. Terserlah lesung pipit di pipi kanannya yang kelihatan halus sahaja. Sekilas pandang memang tidak akan perasan. Fateh juga mula ikut senyum.
“Maaf, tadi tu saya terlalu ikutkan perasaan. Saya macam dah tak boleh nak fikir apa-apa tadi. Tapi, bila difikirkan balik, memang tak berguna pun untuk menangis dan marah, sebab kita nak salahkan siapa? Bukan ALLAH ke yang rangka kisah hidup kita? Jadi, bila difikirkan balik, saya ni macam marahkan ALLAH pula,” ujar Humayraa tulus. Gadis itu tergelak tanpa suara. Fateh mengangguk faham. Humayraa mula membuka langkah meneruskan perjalanan pulangnya manakala Fateh sekadar mengiringinya sahaja.
You know what, a girl who is too pretty would be alienated by the rest of the girls.” Ujar Fateh tiba-tiba membuatkan Humayraa terdiam. Sepi mula merajai suasana. Masing-masing kembali kekok.
“Maaf tak kenalkan diri dari tadi lagi. Nama saya Humayraa. Humayraa Nur Syahlaa.” Humayraa melakarkan senyuman nipis seraya memperkenalkan dirinya.
“Gadis yang berkulit putih kemerah-merahan, bercahaya dan bermata biru,” ujar Fateh selamba menyebabkan langkah Humayraa terhenti. Mata birunya memandang lelaki itu tanpa kelip. Terkejut.
“Macam mana awak boleh tahu?” Gadis itu seakan tidak percaya bahawa Fateh mengetahui dengan tepat makna bagi namanya. Lelaki itu hanya tersenyum.
“Kalau saya tak tahu makna dia yang betul pun, saya dah boleh agak because your name fits you perfectly,” Fateh menjawab ringkas. Humayraa terdiam sebelum dia mula menyambung langkah mendekati basikalnya yang telah diparkir kemas di bawah pondok. Tidak mahu lagi mengulas berkenaan topik itu.
“Kita jadi kawan, boleh?” Tanya Fateh tanpa mengikut langah Humayraa.
Humayraa mendapatkan basikalnya. Kedudukannya dikemaskan lagi. Pandangannya kembali tertancap pada wajah Fateh seketika. Wajah Humayraa tampak kosong tanpa riak.
“Err… jangan risau. Saya dengan Nisyha pun kawan jugak,” Fateh membetulkan kenyataannya. Melihatkan wajah Humayraa, dia risau permintaannya akan ditolak.
“Dengan berbesar hati,” balas gadis bermata biru itu ringkas sebelum dia mula mengayuh basikalnya meninggalkan perkarangan sekolah.
Mata Fateh masih lagi menyoroti kelibat Humayraa hinggalah sudah tidak kelihatan lagi. Senyuman bahagia terleret mekar di bibirnya.

“ASSALAMUALAIKUM.”
Humayraa melangkah masuk ke dalam rumahnya. Kelihatan Fatimah sedang berbual dengan seseorang di ruang tamu yang duduk membelakangkannya. Wajah Fatimah kelihatan serius sahaja. Mungkin perbualan tentang perkara-perkara yang penting, agaknya. Fikir Humayraa. Humayraa mendekati ibunya.
“Assalamualaikum, ibu, aunty.” Humayraa menyalami Fatimah sambil tersenyum manis. Gadis itu mencium kedua belah pipi ibu tercinta. Humayraa kemudiannya turut menyalami tetamu yang datang ke rumah mereka.
Aunty apa khabar?” Dia bertanya ramah sebagai tanda hormat terhadap orang lain. Wanita yang masih kelihatan anggun walaupun sudah berusia sekitar pertengahan 40-an itu tersenyum manis dan mengangguk perlahan.
“Ibu, aunty, saya masuk dalam dulu, ya? Minta diri dulu.” Ujar gadis itu sebelum berlalu pergi.
Wanita yang duduk berhadapan dengan Fatimah melontarkan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan. Fatimah mengeluh perlahan.
“Saya harap awak tak lagi cakap pada saya yang awak tak ada anak perempuan, Mah.”
Fatimah mengeluh perlahan. “Itu sajalah yang saya ada. Anak susuan saya. Bukan anak kandung. Kan saya dah cakap awal-awal yang saya tak ada anak sebab saya tak boleh mengandung. Lagipun Puan Sri, dia terlalu muda. Terlalu.” Fatimah berkata perlahan. Terasa berat hatinya ingin menyambung perbualannya dengan Puan Sri Jeanne Mellinda.
“Okey, maafkan saya. Tapi, kalau macam tu, maknanya memang dialah orangnya, kan? Memang dialah yang arwah sayang tu. Dan saya jugak... dah mula rasa sayang pada dia walaupun ini baru kali pertama saya nampak wajah dia.” Puan Sri Jeanne tersenyum nipis.
“Tapi, saya harap awak relakan perkara ni. Walaupun hakikatnya awak tak nak, Mah. Sebab ia perlu dilakukan juga,” Fatimah hanya tersenyum kelat mendengar ayat itu dituturkan. Dia tidak sanggup untuk membayangkan apa yang akan terjadi, dan dia sendiri tidak sanggup untuk mengizinkannya, tetapi dia terpaksa juga.
“Baiklah, tapi awak kena janji dengan saya.”
            “Janji apa?”

Labels: