bio list cbox entry




CLUMSY GIRL FOR ME (CGFM) - BAB 1
Friday, 22 January 2016 | 0 comments





BAB 1

MEI 2015

HUMAYRAA mendekati basikalnya. Seakan mahu terlepas sahaja buku-buku yang berada di pegangan. Hatinya luruh melihatkan keadaan basikalnya. Humayraa menarik nafas dalam sebelum dihela perlahan. Dengan berhati-hati, dia menempatkan beg dan buku sekolahnya di dalam bakul yang terletak di hadapan basikal.
Tak apa, Humayraa. Ini cuma dugaan sikit saja. Kau tak layak untuk terasa.
Humayraa duduk mencangkung di sisi basikalnya sambil tersenyum kelat. “Hari tu, pancitkan tayar. Hari ni, hilangkan rantai dan pengayuh pulak? Kreatif betul budak-budak zaman sekarang ni,” dalam pada rasa sedih diperlakukan begitu, dia sempat berseloroh.
Gadis itu bangkit. Keluhan berat terhembus keluar. Perlahan-lahan, dia memimpin basikalnya keluar dari kawasan perkarangan sekolah. Nampaknya, kena bersenam sikitlah hari ni. Bisik hati kecilnya. Kulitnya mula kemerahan terkena pancaran mentari yang bahang.
“Kalau ada Nisyha, kan best. Tak adalah bosan sangat,” keluh Humayraa seorang diri sambil kakinya melangkah perlahan di bahu jalan. Wajahnya kelihatan muram sahaja.
Tidak seperti kebiasaannya, hari ini Humayraa terpaksa pulang seorang diri kerana Nisyha tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan demam. Jika tidak, sudah semestinya dua sahabat itu akan pulang ke rumah bersama-sama. Jika pada hari itu, basikal Humayraa selamat tanpa sebarang kerosakan, mereka berdua akan mengayuh basikal masing-masing pulang ke rumah. Tetapi, jika pada hari tersebut, basikal Humayraa tidak dapat dinaiki, maka Nisyha juga turut memimpin basikalnya pulang ke rumah.
Nisyha langsung tidak kisah walaupun rumah mereka agak jauh daripada sekolah. Gadis pengawas itu sentiasa sudi menemani Humayraa. Mereka berdua sudah bersahabat baik sedari Humayraa baru sahaja pindah ke sekolah ini pada tahun lepas.
Sebuah kereta BMW hitam berkilat mengekori perlahan langkah Humayraa. Sebenarnya, gadis itu sudah lama perasan akan kewujudan kereta mewah itu di belakangnya namun dia hanya membuat tidak endah. Bukannya dia tidak kenal akan gerangan yang berada di dalam kereta itu. Siapa lagi kalau bukan Fateh Iman?
“Mayraa, kalau Fateh tu nak tolong kau, terutamanya nak tumpangkan kau balik rumah, kau jangan terima. Kalau dia tanya kau ada masalah ke, kau cakap aje kau okey. Bukan aku cemburu ke apa tapi kau fahamlah kan kenapa kau kena macam ni semua. Kalau kau rapat sangat dengan dia, silap-silap basikal kau cuma tinggal tayar aje nanti. Jenuh pulak nak balik jalan kaki setiap hari. Maklumlah, Fateh tu kan Prince William planet Saturn, maka ramailah alien yang syok dekat dia. Kau kena faham,” Humayraa teringat kata-kata selamba Nisyha suatu ketika dahulu. Masih lagi segar dalam ingatannya, mereka tertawa tatkala habis sahaja ayat itu dituturkan.
Lamunannya bersepai entah ke mana tatkala telinganya terdengarkan bunyi hon kereta dari arah belakang. Humayraa mematikan langkah. Kereta mewah hitam berkilat itu berhenti di sebelahnya. Cermin tingkap yang dipasang tinterd di bahagian penumpang belakang itu turun perlahan-lahan. Terserlah wajah tampan seorang lelaki, memandang ke arahnya.
“Hai, Mayraa. Kenapa jalan kaki? Mana Nisyha? Nak tumpang?” Tanya Fateh sambil terlakar senyuman manis di bibirnya.
“Tak apalah Fateh. Pergi ajelah offer dekat orang lain,” ujar Humayraa tanpa riak. Dia mula menyambung langkahnya tanpa lagi menghiraukan lelaki itu.
Kereta BMW itu bergerak perlahan, cuba menyaingi langkah Humayraa. Gadis itu hanya tegak memandang hadapan. Sengaja dia tidak mahu menghiraukan keberadaan kereta mewah itu di sebelahnya.
Setelah agak jauh berjalan dan keadaan masih kekal sebegitu, akhirnya Humayraa berhenti melangkah. Sebaik sahaja mati langkah gadis itu, kereta BMW itu juga turut berhenti bergerak. Sekali lagi tingkap tinterd di bahagian penumpang belakang itu turun perlahan-lahan. Terpampang wajah Fateh yang masih lagi dengan senyuman memikatnya.
“Hai, Mayraa. Kenapa jalan kaki? Nisyha mana? Nak tumpang?” Sekali lagi soalan yang sama ditanyakan. Fateh masih tetap dengan wajahnya manakala Humayraa pula sudah mengeluh halus.
“Fateh, awak tak penat ke?” Tanya Humayraa dengan wajah yang polos. Lelaki itu menggeleng kecil.
“Tak, saya tak penat. Patutnya, awak tu yang penat sebab awak jalan kaki dari tadi,” jawab Fateh selamba sambil tergelak kecil. Humayraa mengetap bibir. Terkena.
“Awak tak bosan ke jalan sorang-sorang? Nisyha mana? Kenapa dia tak temankan awak macam selalu?” Kali ini, Fateh pula yang mengemukakan soalan. Lelaki kacukan Belanda itu tersenyum senget.
“Fateh, awak sebenarnya tahu kan yang Nisyha tak datang hari ni sebab dia demam?”
“Tahu,” dengan wajah yang bersahaja, lelaki itu menjawab.
“Saya juga tahu yang basikal awak tu tak boleh digunakan sekarang ni,” lelaki itu berkata sambil anak matanya yang berwarna coklat itu memandang ke dalam anak mata Humayraa yang berwarna biru kehijauan itu.
Gadis itu terdiam lantas melarikan anak matanya ke arah lain. “Mana ada,” dia cuba memprotes namun matanya sudah melilau memandang ke serata arah seakan tidak keruan.
Fateh tergelak kecil melihat reaksi jujur gadis itu. “Yakin?” Tanyanya sekadar mahu menguji.
Humayraa memandang wajah lelaki itu sebelum pandangannya jatuh pula pada basikalnya. “Yakinlah, apa yang tak yakinnya?” Dia kembali memandang Fateh.
Gadis itu mula melabuhkan punggungnya di atas tempat duduk basikal. Kain yang terselak sedikit tidak menjadi masalah kerana dia memang sentiasa memakai seluar trek di bahagian dalam. Kakinya automatik ingin memijak di bahagian pengayuh basikal namun bahagian itu sudah tiada lagi di situ menjadikannya hilang keseimbangan badan. Hampir-hampir sahaja Humayraa terjatuh namun mujur kakinya sempat menahan.
Humayraa sempat memandang Fateh sekilas dan ternyata lelaki itu masih setia menunggu dengan kening yang terjongket sebelah. Gadis itu menarik nafas dalam.
Ya ALLAH, tolonglah aku. Hati kecilnya membisikkan doa.
Dengan menggunakan kedua belah kakinya, Humayraa menolak basikal itu sekuat hati. Basikal berjaya digerakkan namun, Humayraa terlepas pandang bahawa terdapat lubang yang besar di hadapan. Tanpa sempat mengelak, basikal yang dinaiki Humayraa sudah melanggar lubang itu terlebih dahulu membuatkan Humayraa benar-benar hilang keseimbangan badan.
Akhirnya gadis itu terjatuh menyembah bumi.
“Mayraa!” Fateh terjerit kecil seraya berlari keluar daripada kereta menghampiri gadis itu. Humayraa tertunduk malu sambil tangannya mengemas barang-barangnya yang bersepah. Tanpa banyak bicara, Fateh turut membantu mendirikan semula basikal gadis itu lalu ditongkatkannya basikal tersebut.
Humayraa bangkit dan mengibas-ngibas bajunya yang sedikit berdebu. Perlahan-lahan dia mula mengangkat pandangan memandang wajah Fateh yang sudah berpeluk tubuh. Serius sahaja wajah lelaki kacukan Belanda itu memandangnya tanpa berkelip. Hati Humayraa menjadi gerun melihatkan wajah garang Fateh.
“Sebenarnya saya memang dah tahu yang ada orang sabotaj basikal awak. Tapi, saya tak sangka yang awak memang tak sudi betul untuk terima pertolongan saya. Mayraa, kan saya dah cakap banyak kali, awak kena semua ni bukannya kerana saya atau apa pun, ianya cuma kerana mereka terlalu cemburu dengan kecantikan yang ada pada awak. Awak faham tak? You are being alienated by them. Jadi janganlah sombong sangat kalau saya nak tolong tu. Sekarang tengok, siapa yang susah? Awak nak jalan kaki ke apa, saya tak kisah. Tapi, kenalah berteman. Awak tu perempuan. Awak tak tahu ke bahaya untuk seorang gadis macam awak balik sorang-sorang jalan kaki? Dahlah rumah jauh, kalau dekat tu tak kisahlah sangat. Zaman sekarang ni bahaya bukannya kenal pada orang. Berlambak-lambak orang jahat dekat luar sana. Tolonglah berhati-hati sikit. Awak suka betul buat orang lain risau. Kalau terjadi apa-apa pada awak, siapa yang susah? Siapa yang risau? Kalau Nisyha ada, saya tak kisah sangat. Dia tu ada tali pinggang hitam. Kalau awak macam dia pun, okey lah jugak. Ini tidak, risau ...”
“Okey, okey. Stop it, Fateh. Awak tak payahlah nak bebel macam mak nenek. Awak cakap ajelah straight to the point,” akhirnya Humayraa bersuara, memintas pembebelan panjang lebar oleh Fateh Iman. Lelaki bermata coklat itu terdiam. Senyuman yang mahu terukir, disembunyikannya.
“Okey, saya nak awak balik dengan saya. Ini suatu arahan.” Masih lagi tangannya berpeluk tubuh, Fateh mengarah persis seorang pengarah yang begitu berkepimpinan. Humayraa hanya diam sambil pandangannya fokus pada wajah Fateh. Lama.
“Jangan risau, nanti basikal ni saya uruskan. Dah, jom.” Tambah Fateh lagi lalu tanpa menunggu lama, menapak meninggalkan gadis itu di belakang.
Terkial-kial Humayraa mengambil barang-barangnya lalu mengekori langkah Fateh, seorang lagi penyelamatnya di kala dia ditimpa kesusahan. Walaupun Humayraa mempunyai ramai musuh yang berhasad dengki dengannya, namun setiap kali dia dianiayai, pasti sahaja ada yang sudi membantunya.

DUA buah helikopter berlegar-legar di ruang udara mengiringi ketibaan sebuah pesawat mewah yang baru sahaja tiba untuk melakukan pendaratan di kawasan lapangan peribadi milik Tan Sri Amiruddin Affan. Pesawat peribadi itu sudah selamat melakukan pendaratan di kawasan yang berdekatan dengan sekelompok manusia berkot hitam.
Jarum jam tangan besi yang melekat kemas di pergelangan tangannya menunjukkan tepat jam 9 malam. Senyuman nipis terleret di wajah tampannya. Pintu pesawat yang dinaikinya mula terbuka perlahan-lahan sekali gus membentuk tangga untuk dia turun menjejak tanah setelah berjam-jam berada di atas udara.
Sebaik sahaja kakinya membuka langkah pertama memijak anak tangga pesawat, 20 orang lelaki yang segak memakai kot hitam, berbaris tegak membentuk dua barisan betul-betul berserenjang dengan tangga pesawat sebagai tanda ucapan selamat kembali pulang untuk ketua mereka.
“Selamat kembali, Tuan Muda!” ujar mereka serentak.
Fahryil kini sudah selamat menjejakkan kakinya ke tanah. Matanya melilau memandang sekeliling sebelum pandangannya tertancap pada seseorang yang sedang tersenyum ke arahnya, berdiri di kejauhan, betul-betul bertentangan dengannya. Pantas sahaja lelaki tampan itu membuka langkah mendekati sesusuk tubuh yang amat disayanginya.
Hi, mama. Miss you so much,” sapa lelaki tinggi lampai dan berkulit putih itu sambil menyalami dan mengucup tangan mamanya.
Miss you too, Aril.” Wanita yang masih tampak cantik dan anggun walaupun sudah berusia hampir separuh abad itu mendakap erat anak lelakinya, melepaskan kerinduan yang terbuku di hati. Pelukan dileraikan. Terasa sudah begitu lama tubuh sasa itu tidak didakapnya.
Tangan anaknya dicapai dan digenggam lembut. “Jom balik rumah, sayang. Aril mesti lapar dan penat. Mama ada masakkan makanan kegemaran Aril,” ajak Puan Sri Jeanne sambil menarik lembut tangan anaknya mendekati kereta mewah Mercedez Benz GLE Coupe. Fahryil hanya akur pada langkah mamanya. Bahu mamanya dipeluk sambil bibirnya mengukir senyum.
Barang-barang lelaki muda itu diuruskan oleh beberapa orang lelaki berkot hitam yang berada di dalam pesawat. Dua beranak itu sudah pun selamat memasuki perut kereta.
Dua buah kereta hitam mewah meluncur laju kemudian diikuti oleh kereta Mercedez Benz yang dinaiki oleh Puan Sri Jeanne dan anak tunggalnya. Dua buah lagi kereta mewah hitam mengekori kereta mereka dari arah belakang. Lima buah kenderaan mewah itu meluncur laju membelah kedinginan angin malam. Perjalanan mereka diawasi dengan teliti oleh dua buah helikopter peribadi yang turut mengiringi perjalanan pulang dari atas udara.

IBU, ibu pernah tengok muka ummi dengan papa Mayraa tak?” Humayraa memandang Fatimah dengan mata yang bersinar. Lembut sahaja pertuturannya. Sayu. Satu hakikat yang harus ditelannya walaupun perit bak hempedu.
            Di keheningan malam itu, Humayraa menyeka air matanya. Dia tenggelam dalam tahajudnya, menghambakan diri pada Sang Pencipta. Tiba-tiba, dia terkenangkan soalannya pada ibunya sewaktu dia masih berada di sekolah rendah. Mukanya kemerah-merahan. Matanya kembali berkaca. Rindunya pada kedua-dua ibu bapa kandungnya semakin menebal.
            Humayraa Nur Syahlaa. Gadis berkulit putih kemerah-merahan yang bercahaya dan bermata biru. Namanya seindah maknanya. Seorang gadis yang telah diambil sebagai anak angkat dan anak susuan oleh Fatimah Solehah dan Mursyid Ali sedari dia berusia dua bulan. Anak angkat yang telah sah dari segi undang-undang mahkamah. Negara tempat dia dilahirkan ialah Mesir, di kem bantuan kemanusiaan untuk pelarian Palestin yang berada di sana. Umminya ialah seorang warga Palestin manakala bapa kandungnya, David Abdillah pula seorang warga Scotland yang merupakan sukarelawan dalam misi bantuan kemanusiaan ke Palestin. Sudah menjadi suratan takdir, David yang sebelum ini beragama Kristian, terbuka hati untuk memeluk Islam selaku pegangan hidup dan matinya selepas bertemu dengan Aisya Humayraa di sebuah kem bantuan kemanusiaan sukarelawan Malaysia di Gaza.
Gadis sunti yang berusia sekitar 17 hingga 18 tahun itu mengajar David mendalami agama Islam, agama yang sebenar-benar agama. Maka, bertemu jualah David dengan kebahagiaan yang sebenar, yang selama ini sangat didambakannya.
            ALLAH menyatukan hati mereka dan akhirnya, mereka melengkapkan separuh daripada iman mereka. Menjengah hampir sebulan usia perkahwinan yang serba sederhana, David Abdillah keluar atas panggilan jihad bersama mujahidin yang lain, namun dia telah memperoleh syahid ketika mengambil wudhu’ di tepi sungai selepas serangan mereka berjaya mematahkan pertahanan musuh dengan bersertakan bantuan yang turun dari langit.
            Aisya menjalani kehidupannya seorang diri dengan membesarkan kandungan dalam rahimnya, satu-satunya cinta yang ditinggalkan oleh suami tercinta. Dia melarikan diri ke Mesir.
Usia Humayraa mencecah sebulan di dalam penjagaan ibu kandungnya, Aisya menyerahkan puterinya kepada Fatimah Solehah dan Mursyid Ali, pelajar universiti Al-Azhar. Dia mengamanahkan Humayraa kepada sepasang suami isteri itu. Kesemua dokumen yang ada diserahkan kerana Aisya benar-benar bertekad untuk menyerahkan hak penjagaan cahaya matanya kepada Fatimah dan suami. Dia tahu, tiada jaminan keselamatan untuk anaknya jika bayi itu bersama dengan ibu kandungnya, sedang Aisya pula tidak mahu zuriat keturunannya bersama suami tercinta terputus begitu sahaja. Ibu kandung Humayraa mahu pulang semula ke tanah airnya, tetapi berseorangan tanpa membawa Humayraa yang masih lagi kecil.
“Mujahidah, Ya Syahlaa.” Dalam esak itu, Aisya memakaikan seutas rantai di leher bayi kecil itu sebelum dia keluar meninggalkan Humayraa, buat selama-lamanya. Di loket rantai tersebut terdapat sepotong ayat yang ditulis oleh Aisya sendiri – Mujahidah, Ya Syahlaa.
            “Humayraa, sayang. Ibu dengan abi tak pernah nampak papa Humayraa. Tapi, ummi Humayraa sangat cantik. Sama macam Humayraa.” Terngiang-ngiang ucapan itu di telinga Humayraa.
            Humayraa menangis. Bersarungkan telekung putih suci itu, dia mengelap air matanya yang mengalir seakan tidak mahu berhenti. Itu sahaja kenangan yang dia ada bersama dengan ibunya yang tercinta. Walau hakikatnya, dia tidak pernah ingat langsung rupa paras ibunya.
            “Ya RABB, sampaikanlah salam rinduku pada ibu bapaku. Ya ALLAH, sampaikanlah, Ya ALLAH... anak mereka sangat rindukan belaian dan senyuman mereka. Aku... dambakan pelukan hangat mereka, Ya RAHMAN. Sesungguhnya, kuserahkan seluruh jiwa ragaku padaMu. Aku yakin, sebaik-baik tempat penyerahan adalah padaMu. Aku yakin, Ya RABB, Kau tahu apa yang terbaik untukku.”
            Humayraa tenggelam dalam esak tangisnya. Mukanya kemerahan. Humairaa tidak penat-penat mengadu pada Pencipta cakerawala yang indah. Dia tidak bosan merendahkan hatinya di kala tahajudnya.



 
Mercedes Benz GLE Coupe


Humayraa Nur Syahlaa David Abdillah

Fahryil Danial

Fateh Iman



Labels: